Laporan pasangan warga asing minta sedekah dirujuk kepada UNCHR, JKM

Sinar Harian
September 24, 2023 17:45 MYT
Wanita itu dilihat berang dan menunjukkan isyarat lucah kepada lelaki yang merakamkan perbuatannya itu. - Gambar/ Sinar Harian/ Media sosial
KUALA LUMPUR: Polis akan meneliti jika ada pelanggaran undang-undang berkaitan insiden seorang wanita warga asing bertindak biadab selepas kegiatannya disyaki menjalankan sindiket meminta sedekah di sekitar ibu kota terbongkar.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya ada menerima laporan berkaitan insiden terbabit.
"Laporan itu telah dirujuk kepada Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNCHR) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan lanjut. Polis akan melihat jika ada sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan insiden terbabit," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Berdasarkan video berdurasi 22 saat yang tular sejak Jumaat, wanita itu dilihat berang dan menunjukkan isyarat lucah kepada lelaki yang merakamkan perbuatannya itu.
Menerusi klip berkenaan, wanita itu disyaki melakukan kegiatan meminta sedekah bersama pasangannya yang juga seorang lelaki warga asing bersama seorang kanak-kanak.
Di dalam video terbabit, individu yang merakam pasangan berkenaan turut didengar mahu mengadukan perkara tersebut kepada pihak berkuasa. - Sinar Harian
#warga asing #minta sedekah #UNHCR #Tular
;