Kementerian Pengangkutan akan mengkaji cadangan keselamatan yang diutarakan oleh Pasukan Penyiasat Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia bagi kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 bagi mengelakkan kemalangan yang sama daripada berulang pada masa depan.

Menteri berkenaan Anthony Loke Siew Fook berkata pada masa yang sama pihak kementerian akan membuat siasatan menyeluruh dan akan mengambil tindakan terhadap sebarang perbuatan salah laku berdasarkan hasil siasatan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.

Dalam satu kenyataan ekoran pembentangan Laporan Siasatan Keselamatan ICAO bagi MH370 pada Ahad, Loke berkata mesyuarat kabinet pada 11 Julai telah diberi taklimat dan ambil maklum terhadap penemuan dalam laporan itu.

"Pembentangan laporan ini merupakan testimoni terhadap komitmen serta ketelusan Malaysia dalam mematuhi obligasinya sebagai salah sebuah negara perjanjian di bawah Lampiran 13 ICAO. Pasukan itu telah diberi kebebasan penuh dalam melakukan penyiasatan dan laporan itu dikemukakan tanpa sebarang suntingan atau pindaan.

"Dalam hal ini saya ingin merakamkan setinggi-tingginya penghargaan dan ucapan terima kasih terhadap Pasukan Penyiasat Keselamatan ICA0 Lampiran 13 bagi MH370 terhadap laporan yang teliti dan telus." katanya.

Terdahulu, ketua penyiasat Datuk Kok Soo Chon berkata pasukan penyiasat keselamatan bagi MH370 tidak dapat menentukan sebab sebenar kehilangan pesawat malang itu setelah mengenal pasti tujuh teori yang munasabah termasuk konspirasi, khabar angin dan gosip dalam media sosial.

Kok juga berkata laporan 449 lembaran itu bukan merupakan laporan terakhir bagi pencarian pesawat yang hilang itu tetapi hanya meliputi siasatan keselamatan dan berasingan daripada pencarian dan siasatan kehakiman.

Dalam pada itu Loke mengulangi bahawa aspirasi untuk menemukan MH370 tidak pernah diabaikan ekoran laporan ICAO terhadap siasatan keselamatan MH370 tidak dapat menentukan sebab kehilangan pesawat itu empat tahun lepas.

"Kita tetap berharap akan mendapat jawapan yang kita cari apabila ada bukti yang boleh dipercayai nanti.

"Dengan pembentangan laporan itu, hati saya terkenang kepada keluarga tercinta mereka yang berada dalam pesawat penerbangan MH370 itu ketika rakyat Malaysia bersama-sama masyarakat antarabangsa serta para waris bersatu dalam menghadapi saat getir ini," katanya

MH370 hilang pada 8 Mac 2014, ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Pesawat Boeing 777-200ER itu membawa 12 anak kapal dan 227 penumpang, sebahagian besarnya terdiri daripada warganegara China.

-- BERNAMA