Laporan mengenai graduan palsu menang Hadiah Kajai

Bernama
Jun 13, 2013 08:10 MYT
Laporan mengenai graduan palsu nukilan Sophia Ahmad membolehkan wartawan Berita Harian itu merangkul Hadiah Kajai, Hadiah Kewartawanan Malaysia 2013 pada Rabu.
Sophia, 35, membawa pulang wang tunai RM30,000 beserta syiling emas 100 gram bernilai RM16,000 dengan laporan bertajuk 'Graduan Palsu' mendedahkan sindiket penjualan sijil ijazah palsu oleh sebuah institusi pengajian swasta di Petaling Jaya, Selangor.
"Saya amat berterima kasih kepada ayah saya (Datuk Ahmad A Talib) yang sentiasa memberi kekuatan dan semangat untuk saya meneruskan perjalanan saya yang masih jauh dalam bidang ini walaupun pada satu ketika saya hampir berputus asa.
"Saya akan meneruskan legasi ayah saya dalam bidang kewartawanan ini. Banyak cabaran yang terpaksa saya tempuhi bagi menghasilkan laporan ini antaranya terpaksa menyamar sebagai pembeli ijazah palsu dan memastikan sindiket tidak mengetahui saya seorang wartawan," kata anak Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad itu kepada pemberita pada Malam Kewartawanan Malaysia 2013 di sini.
Hadiah disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Malaysian Press Institute Datuk Chamil Wariya.
Anugerah yang mempertandingkan 13 kategori itu juga menyaksikan jurufoto Bernama, Mazlan Samion merangkul Kewartawanan Esei Foto Cemerlang dengan siri foto berkenaan 'Stigma Sakit Kusta' dan membawa pulang RM12,000.
Sementara itu Chamil berkata 264 wartawan mewakili 26 organisasi berita telah mengemukakan 491 bahan penyertaan untuk diadili panel hakim terdiri daripada ahli akademik bidang kewartawanan, komunikasi dan media serta wartawan veteran yang tidak terikat dengan organisasi berita yang mengambil bahagian.
Beliau berkata bagi kategori utama Hadiah Kajai tiga calon terbaik di kalangan 13 kategori yang dipertandingkan secara automatik dipertimbangkan untuk hadiah utama itu.
"Penilaian telah dibuat secara objektif dan mereka diisytiharkan sebagai pemenang wajar berbangga kerana telah menghasilkan karya kewartawanan yang amat berkualiti," katanya.
#graduan palsu #Hadiah Kajai #Sophia Ahmad #wartawan Berita Harian
;