Laporan media dakwa 21 IPG ditutup tidak benar - Maszlee

Bernama
September 10, 2019 18:28 MYT
MASZLEE: "Kita meminta kepada pihak yang mengeluarkan berita tersebut supaya merujuk kepada kita dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan yang tidak benar sama sekali." - Gambar fail
Laporan media yang mendakwa sebanyak 21 daripada 27 institut pendidikan guru (IPG) akan ditutup secara berperingkat bermula tahun depan adalah tidak benar kerana ia merujuk kepada keputusan dibuat oleh kerajaan sebelum ini.
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata cadangan penutupan IPG itu sama sekali tidak berkait dan langsung tidak merujuk sama sekali kepada dasar kerajaan pada masa ini.
"Kita meminta kepada pihak yang mengeluarkan berita tersebut supaya merujuk kepada kita dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan yang tidak benar sama sekali.
"Kenyataan tersebut langsung tidak benar, ia merujuk kepada dasar oleh kerajaan lama dan bukan dasar kerajaan sekarang ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Menengah Kebangsaan Rahmat di Kuala Sungai Baru di sini hari ini.
Laporan muka depan akhbar Berita Harian hari ini melaporkan dakwaan daripada sumber tidak dinamakan terdapat cadangan 21 daripada 27 (IPG) akan ditutup secara berperingkat bermula tahun depan dan tahun ini pengambilan terakhir pelajar IPG berkenaan.
Sementara itu, Maszlee berkata Jabatan Pendidikan negeri akan memastikan keadaan jerebu di negara ini tidak menjejaskan kesihatan pelajar sekolah dan sentiasa berhubung rapat dengan pelbagai pihak antaranya Jabatan Alam Sekitar bagi memantau situasi terkini tentang jerebu di kawasan sekolah.
"Setiap Jabatan Pendidikan negeri mempunyai SOP (Prosedur Operasi Standard) masing-masing tentang jerebu yang mana mereka akan memastikan bila sampai ke bacaan (kualiti udara) tertentu sekolah akan ditutup. Jadi rujuk kepada Jabatan Pendidikan negeri masing-masing.
"Kita tidak menggalakkan aktiviti di luar (ketika keadaan berjerebu) dan banyakkan minum air kosong dan menjaga keselamatan," katanya.
Beliau berkata apa yang penting pada masa ini adalah semua pihak yang terlibat termasuk Jabatan Pendidikan negeri perlu meletak usaha menjaga kebajikan pelajar dan guru pada keadaan berjerebu ini pada tahap yang tertinggi.
Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sini (Alor Gajah) dan Bukit Rambai, Melaka Tengah menunjukkan tahap tidak sihat setakat pukul 2 petang ini iaitu masing-masing pada 101 dan 102.
#Alor Gajah #Bukit Rambai #guru #Institut Pendidikan Guru #IPG #Jabatan Pendidikan Negeri #jerebu #Maszlee Malik #Melaka Tengah #pelajar #pendidikan #sekolah
;