Laporan KRI: Model institusi perlindungan sosial negara perlu transformasi
Azyyati Ahmad
September 23, 2021 12:06 MYT
September 23, 2021 12:06 MYT
KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya kita mentransformasikan model institusi perlindungan sosial sedia ada supaya negara lebih bersedia menghadapi masa hadapan yang kian mencabar, seperti kadar penuaan penduduk yang pantas dan keadaan pasaran buruh yang lemah.
Menurut Pengerusi Khazanah Research Institute (KRI) Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, cabaran-cabaran ini, jika tidak ditangani, boleh menggugat kemampuan negara dalam memastikan kebajikan rakyat pada masa akan datang.
“Sektor sosial, secara umumnya, diurus dengan baik oleh agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta institusi perlindungan sosial seperti PERKESO dan KWSP. 4.
“Namun demikian, jurang dari segi liputan dan kecukupan nilai bantuan tetap menjadi masalah serius. Sebahagian besar program kebajikan sosial bersifat bantuan jangka pendek, tidak didasari dengan komitmen dari segi perundangan dan sumber kewangan yang kukuh. Ini menghasilkan program-program yang kurang lestari; memberi faedah yang tidak mencukupi dan tidak menentu; serta tidak selaras dan bertindih,” katanya dalam ucapan sempena penerbitan laporan KRI hari ini.
Justeru, katanya, usaha ini haruslah bermula dari awal permulaan hidup dengan memberi akses kepada penjagaan kesihatan kepada ibu hamil dan janin dalam kandungan serta persekitaran kondusif yang menyokong pertumbuhan fizikal dan mental kepada setiap kanak-kanak dan remaja.
“Semasa di alam pekerjaan, setiap warga kerja harus dilindungi skim perlindungan keselamatan sosial nasional bagi membantu mereka apabila hilang punca pendapatan, seperti mengalami kemalangan semasa bekerja, kematian, serta diberhentikan kerja.
“Sistem pencen dan keselamatan sosial untuk menghadapi usia persaraan perlu dimantapkan agar warga tua malaysia dapat meniti usia tua dengan bermaruah dan hidup dengan selesa,” katanya.
Cadangan-cadangan berkenaan digariskan dalam laporan KRI bertajuk Menongkah Badai: Ke Arah Keterangkuman Perlindungan Sosial Di Malaysia yang dilancarkan pada 23 Sept 2021.
Tambahnya, cadangan-cadangan yang di gariskan dalam laporan tersebut menekankan sistem yang inklusif dan berpandangan jauh dalam mencegah kemiskinan dan kemelaratan hidup di Malaysia.