Laporan konspirasi: Pergerakan Pemuda UMNO serah pada polis

Wan Syamsul Amly
Julai 28, 2016 17:54 MYT
Khairul Azwan berkata, pihaknya juga akan memberikan kerjasama dalam siasatan berkenaan.
Pergerakan Pemuda UMNO menyerahkan isu tiga bekas pegawai tertinggi kerajaan terlibat dalam konspirasi untuk menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Malaysia kepada polis untuk siasatan seterusnya.
Naib Ketuanya, Khairul Azwan Harun berkata, pihaknya juga akan memberikan kerjasama dalam siasatan berkenaan.
"Kita serah kepada pihak polis untuk siasatan dan akan memberikan kerjasama. Selain itu saya tidak ada komen apa-apa lagi. Maaf," katanya melalui sistem pesanan Whatsapp kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Pada Selasa, Khairul Azwan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi yang melibatkan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed, bekas Gabenor Bank Negara , Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.
Dalam laporan itu, Khairul Azwan menyatakan nama tiga individu tersebut sama ada secara berseorangan atau bersama terlibat dalam satu konspirasi untuk menggulingkan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia yang sah.
Pada Rabu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya akan memanggil Khairul Azwan bagi membantu siasatan berhubung laporan polis dibuatnya.
Sebelum ini, Gani menyifatkan dakwaannya terbabit dalam konspirasi itu, hanyalah muslihat pihak tertentu untuk mencari publisiti.
#Ketua Polis Negara #Khairul Azwan Harun #Khalid Abu Bakar. #konspirasi #KPN
;