[LAPORAN KHAS] Titipan kuih raya dari tirai besi, peneman keluarga di Aidilfitri

Hilmi Malik
April 22, 2023 16:15 MYT
Air tangan penghuni Penjara Wanita Kajang jadi pengubat rindu buat keluarga di pagi Syawal. - Foto Astro AWANI
KAJANG : Setiap tahun tuntutan perasaan untuk turut serta bersama keluarga meraikan Syawal menjelma pasti membuak-buak namun apakan daya… tirai besi menjadi pemisah kepada harapan itu.
Meskipun jasad mereka mungkin tidak bersama dengan ahli keluarga, sebaliknya kuih raya yang merupakan hasil air tangan penghuni Penjara Wanita Kajang sebagai peneman di pagi Aidilfitri.
Tempoh menjalani pemulihan menyebabkan hari kemenangan itu dirai tanpa insan tersayang di sisi namun hanya rakan senasib dan warden penjara kini sudah ibarat keluarga kedua.
Menceritakan situasi yang menyentuh perasaan itu, Hafidah (bukan nama sebenar) yang terpalit dengan kes dadah berkata, meskipun teruja dapat menghasilkan kuih raya untuk keluarga namun itu bukan tiket untuk dia bertemu dengan keluarganya.
“Kuih raya boleh dipesan daripada kakitangan penjara mahupun keluarga untuk mereka rasa air tangan kita di dalam penjara.
“Pesanan hanya akan dihantar melalui kakitangan penjara jadi keluarga boleh ambil (kuih raya) di ruang yang disediakan… untuk penghuni kita memang tidak bersemuka dengan ahli keluarga,” katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.
Peristiwa silam yang menimpa Hafidah membuatkan dirinya dimasukkan ke penjara buat kali kedua selain ini merupakan tempoh yang lebih panjang baginya untuk menjalani hukuman.
Apa yang lebih penting, dia bersyukur kerana masih mampu membuat ahli keluarga tersenyum tatkala takbir raya berkumandang di pagi Syawal tanpa keberadaannya.
Ditanya mengenai juadah hari raya yang paling dirindui, Hafidah ternyata tidak mampu lagi menahan sebak dan perkongsiannya itu juga turut diiringi dengan linangan air mata.
Menu hari raya yang disajikan oleh pihak penjara mungkin sama namun sentuhannya mungkin tidak akan serupa apatah lagi ia melibatkan air tangan ibunya.
“Siapa yang tak rindu air tangan mak, kalau ditanya saya memang teringin sangat nak makan kuah kacang dan nasi himpit masakan mak… mak memang tahu kegemaran saya jadi kebiasaannya pagi raya memang dia akan buat,” katanya.
Selain itu, Hafidah yang mempunyai dua orang cahaya mata turut memendam rindu terhadap anak-anaknya hasil daripada dua perkahwinan yang berbeza.
Tembok dan tirai besi yang memisahkan bagaimanapun tidak pernah sesekali memadamkan erti kasih sayang buat dirinya yang bergelar ibu.
Peluang yang terhad untuk bertemu dengan anak lebih memilukan apabila setiap kali ditanya bilakah ibu akan keluar dari penjara.
“Anak-anak memang ada datang melawat saya dan setiap kali berjumpa mereka terlalu harapkan untuk saya pulang… soalan yang sama ditanya berulang kali bila mama balik,” luahnya.
Perjalanan hidup mereka mungkin berbeza namun siapalah kita untuk menghukum kerana mereka juga insan biasa yang mempunyai hak untuk menikmati kemanisan Syawal.
Peluang kedua kini ditagih untuk kembali dan meneruskan kehidupan bersama masyarakat dan keluarga pada masa akan datang.
Apa yang didepani mereka mungkin sudah menjadi ketentuan selain mengambil kira faktor undang-undang yang memaksa mereka untuk hidup di sebalik kamar besi.
Menghitung hari pembebasan sememangnya saat yang sukar namun mereka percaya ia bakal mendatangkan kebaikan untuk menjalani kehidupan yang lebih baik disamping mengharapkan keampunan ilahi.
Saksikan paparan kisah mereka menerusi AWANI745 malam ini.
#Penjara Kajang #kuih raya #Aidilfitri #banduan
;