[LAPORAN KHAS] SMK Suria Jaya masih terbengkalai, kini lubuk 'mat gian'
Hilmi Malik
November 7, 2022 13:56 MYT
November 7, 2022 13:56 MYT
BATU PAHAT: Hasrat penduduk di Parit Yaani mengidamkan sebuah sekolah buat anak-anak mereka memperoleh pendidikan terus tinggal sebagai mimpi.
Sebaliknya, apa yang diterima cuma pemandangan sebuah sekolah yang terbengkalai dihiasi semak-samun yang semakin meninggi.
Lebih menyedihkan, projek yang menimbulkan pelbagai persoalan itu telah membuka laluan ‘mat gian’ untuk dijadikan sebagai lubuk penagihan.
Dari pemandangan luar, bangunan sekolah itu sememangnya kelihatan gah, namun, hakikatnya ia seperti dihuni ‘penunggu’ apabila diintai kawasan dalamnya.
Isu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Jaya itu sebelum ini dikatakan telah mendapat perhatian, bagaimanapun, sehingga kini masih tidak jelas sinarnya.
Dijanjikan penyelesaian yang menyeluruh sebelum ini namun apa yang dikatakan hanya janji tinggal janji.
Astro AWANI bertemu dengan dua orang pengawal keselamatan yang turut menzahirkan kekeliruan berhubung projek terbengkalai itu.
Poniran Uri mendakwa, sekolah itu sepatutnya dibuka pada tahun 2018 namun masih tergantung sehingga kini.
“Kita pun tak tahu apa masalahnya, kata nak buka 2018 dan ketika itu syarikat kontraktor yang pegang jadi sekarang pihak pendidikan negeri sudah ambil alih jadi dia panggil kita (pengawal) untuk jaga sekolah ini.
“Nak jaga apa pun tak tahu, barang-barang semua hilang dicuri ‘mat gian’ dan bukti semua ada kita sempat ambil apa yang mereka (penagih) cuba nak curi,” katanya kepada Astro AWANI baru-baru ini.
Sementara itu, keluhan sama disuarakan pengawal keselamatan di sekolah itu yang menzahirkan kekecewaan berhubung nasib pembangunan sekolah itu.
Baginya, pembangunan sekolah berkenaan boleh dikatakan hampir siap, namun, berkemungkinan kembali menelan belanja jutaan ringgit akibat daripada kerosakan yang berlaku.
“Sekolah ini dah cantik, lengkap semua kelengkapan tetapi bila masuk dalam keadaan memang menyedihkan.
“Sambungan elektrik semua dah rosak sebab dipotong ‘mat gian’, banyak sebenarnya barang-barang dalam sekolah semua habis sudah dicuri,” jelasnya.
Selain itu, nasib kedua-dua mereka juga tidak begitu baik sewaktu ditugaskan menjaga bangunan yang ibarat tidak bertuan itu berikutan tidak mempunyai bekalan elektrik dan air.
Terpaksa mengambil insiatif sendiri untuk menarik bekalan elektrik dari kawasan rumah selain turut menumpang di masjid berhampiran untuk membuang air.
Laluan masuk untuk ke sekolah berkenaan juga seperti ‘hidup segan mati tak mahu’ disebabkan status pembangunan yang masih tergantung.
Liputan mengenai isu sekolah terbabit juga telah dibawa sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu.
Kementerian Pendidikan ketika itu juga telah memberi jaminan agar penyelesaian secara menyeluruh akan dibuat terhadap projek yang telah terbengkalai sejak tujuh tahun lalu.
Realitinya, penduduk ketika ini hanya disajikan dengan pemandangan bangunan terbengkalai itu tanpa mampu untuk menghantar anak-anak ke sekolah.
Kesannya juga mengakibatkan penduduk setempat terpaksa keluar dari kawasan dengan jarak yang agak jauh untuk mendapatkan pendidikan buat anak-anak mereka.
Astro AWANI akan cuba mendapatkan pihak terlibat bagi mendapatkan penjelasan berhubung status projek sekolah berkenaan.
Apa sebenarnya yang berlaku terhadap SMK Suria Jaya? Atau ia mungkin hanya dijadikan sebagai bahan kempen politik sewaktu musim pilihan raya?
Saksikan Laporan Khas mengenai isu terbabit di AWANI745 malam ini.