LAPORAN KHAS: Penduduk derita, pengusaha tapak sampah haram 'kaya-raya'

Hilmi Malik
Disember 12, 2022 19:45 MYT
Kawasan di sekitar tapak pelupusan sampah haram di Seri Kembangan. - Gambar Astro AWANI/Hilmi Malik
PENDUDUK di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan mendakwa tidak selesa dengan bau tidak menyenangkan yang terpaksa dihidu setiap hari dipercayai berpunca daripada timbunan sampah.
Semuanya gara-gara kerakusan pihak tidak bertanggungjawab yang dipercayai menggerakkan operasi pelupusan tapak sampah haram di kawasan itu.
Pemerhatian Astro AWANI mendapati longgokan sampah di kawasan terbabit sudah cukup untuk menggambarkan dakwaan kegiatan haram yang dipercayai sudah lama berlaku.
Bayangkan sampah yang membusuk dan menimbulkan bau yang cukup tidak menyenangkan.
Bukan sahaja penduduk setempat, pengguna Lebuh Raya Maju Expressway (Maju Expressway) juga pasti dipercayai mempunyai pengalaman terhidu bau busuk.
Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, Ng Sze Han dilaporkan berkata, wujud faktor gangsterisme yang dipercayai menjadi penghalang terhadap pihak berkuasa untuk melakukan tindakan.
Namun, kenyataan yang dikongsikan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Datuk Johary Anuar yang ditemui Astro AWANI, baru-baru ini, berbeza.
“Maklumat yang diterima memang tiada aktiviti gangsterisme dan apa yang berlaku ini mungkin operator di kawasan terbabit dianggap ‘gangster’.
“Apa yang kita dapati, setiap kali aktiviti penguatkuasaan dilakukan, pihak MBSJ tidak menerima sebarang gangguan atau halangan mana-mana pihak di tapak itu,” katanya.
Laporan Khas | Penduduk derita, pemilik tapak pelupusan haram kaya-raya
Menurutnya, MBSJ telah mengeluarkan kompaun sebanyak lima kali dengan setiapnya bernilai RM25,000.
Bagaimanapun, pihak yang terlibat didakwa tidak mempunyai sebarang isu untuk membayar kompaun berkenaan.
Johary turut mendakwa aktiviti itu sering berulang, kerana pihak pelaku tidak bermasalah untuk melangsaikan kompaun yang dikenakan.
Beliau turut berkata, si pelaku seperti tidak serik dengan tindakan yang diambil malah mereka bertindak lebih berani dengan membuka batu penghadang yang telah diletakkan pihak berkuasa.
Keadaan bau bertambah meloyakan setiap kali hujan berikutan air daripada sisa pepejal yang mengalir ke kolam takungan sebelum melepasi saliran awam.
Meninjau keadaan di sekitar tapak pelupusan sampah itu, wujud sebuah kawasan kandang yang menempatkan anjing terbiar.
Kandang anjing berkenaan juga dipercayai antara penyumbang kepada pencemaran bau apabila difahamkan pemiliknya juga secara lewa melepaskan air najis dan sisa kandang ke saliran awam.
Isu tersebut mendapat perhatian Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang turun padang untuk meninjau keadaan tapak pada Isnin lalu.
Setakat ini, kerja mengorek semula kolam takungan selain penggunaan semburan enzim Efektif Mikrob (EM) telah dijalankan bagi mengurangkan pencemaran bau.
Selain itu, kerajaan negeri turut bertindak membina ban sementara untuk menghalang saliran air kotor yang mengalir ke saliran awam.
Malah, Amirudin turut menegaskan tindakan merampas tanah berkenaan akan dibuat sekiranya pemilik gagal bekerjasama dengan pihak berkuasa.
Penduduk turut mendakwa tindakan sememangnya ada dibuat bagi mengatasi masalah yang berbangkit bagaimanapun, ia berkemungkinan untuk tempoh jangka pendek.
Apa yang diharapkan penduduk agar mereka tidak perlu lagi‘berjiran’ dengan bau loya dan aktiviti seharian mereka tidak terjejas akibat bau busuk.
Bagi Pengerusi Persatuan Penduduk PUJ 2, Harnarain Singh Gill, kes yang berlarutan sejak 2014 itu menimbulkan pelbagai persoalan,
Antaranya, mengapa terlalu lama untuk diselesaikan?
“Kami menerima aduan setiap malam daripada penduduk yang memang tidak selesa dengan keadaan ini. Jadi kalau isu ini sudah berlarutan dari 2014 sampai sekarang memang ada sesuatu yang tidak kena dan ada udang disebalik batu,” dakwanya.
Keluhan yang sama juga turut disuarakan wakil penduduk, Ragu Raman Marimuthu yang kecewa dengan pihak terlibat bahkan tindakan pantas hanya kelihatan sebaik sahaja kelibat Menteri Besar Selangor meninjau kawasan.
“Matlamat kita sebenarnya ialah untuk menghilangkan bau jadi pihak yang berkenaan sedar apa sepatutnya dilakukan. Persoalan saya, ialah kenapa sampai sekarang isu ini dibiarkan berlarutan sehingga ada campur tangan Menteri Besar.
“Kenapa perkara ini tidak diambil tindakan sebelum ini dan mengakibatkan kami terpaksa menunggu beberapa bulan selepas kami membuat laporan, namun bau busuk masih kekal,” tegasnya.
Apa pula tindakan susulan selepas ini atau masih wujudkah individu yang 'kebal' daripada tindakan undang-undang?
Saksikan Laporan Khas menerusi AWANI745 malam ini.
#sampah haram #MBSJ #Amirudin Shari #Ng Sze Han #Seri Kembangan
;