Laporan Khas: Mengejar hukum, penghantar makanan tersepit dalam tugasan

Hilmi Malik
September 25, 2021 18:53 MYT
Cabaran dalam proses menghantar makanan adakalanya menerima pesanan tidak halal seperti daging babi dan arak kata salah seorang penghantar makanan. - Gambar hiasan/unsplash.com
KUALA LUMPUR : Situasi ekonomi yang tidak menentu sememangnya bukan masa yang sesuai bagi seseorang individu untuk memilih pekerjaan.
Namun dalam masa yang sama, sememangnya tidak dapat dinafikan wujudnya cabaran yang berbeza bagi setiap pekerjaan yang diceburi.
Bercakap mengenai tugas sebagai seorang penghantar makanan, sekali pandang kelihatan ia satu tugasan yang mudah.
Bagaimanapun, realitinya buat mereka yang beragama Islam mereka juga berdepan cabaran apabila tersepit dalam mengejar hukum agama apabila terpaksa berdepan dengan situasi menghantar makanan tidak halal.
Menurut perkongsian salah seorang penghantar makanan yang enggan namanya didedahkan, mereka diberi pilihan sama ada untuk memilih kategori halal atau sebaliknya.
Namun dalam masa yang sama, makanan pengusaha Muslim juga berada di bawah kategori tidak halal berikutan tidak mempunyai sijil halal JAKIM yang sah.
“Kategori non halal kami terima lebih banyak pesanan kerana ada juga makanan Muslim dalam kategori tersebut.
“Risikonya apabila berdepan pesanan makanan tidak halal seperti daging babi dan arak.
“Lebih mencabar bila ada kuah yang tertumpah dalam bekas penghantaran jadi situasi ini agak merumitkan pihak kami (penghantar makanan),” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Mengulas lanjut, bukan tidak mahu memilih kategori halal, namun disebabkan pesanan yang terhad hanya melibatkan syarikat tertentu yang memiliki sijil halal sah JAKIM.
Ditanya sama ada mempunyai hak untuk membuat pembatalan pesanan, pihaknya menjelaskan perkara itu akan menjejaskan komisen mereka serta tahap prestasi pekerjaan.
“Memang mencabar bila hantar makanan tidak halal, bukan kita tidak mahu tolak, tetapi bila terlalu kerap kesannya kepada prestasi kerja dan komisen kami,” jelasnya lagi.
Situasi itu sekaligus menimbulkan persoalan mengenai hukum agama, bagaimana pula kesan kepada punca pendapatan mereka?
Dalam masa sama, ada juga gesaan daripada pihak penghantar makanan agar isu tersebut mendapat perhatian pihak tertentu termasuk pengasingan penghantar makanan bagi kategori tidak halal.
Difahamkan, setiap syarikat penghantaran mempunyai polisi yang berbeza, dimana ada pihak yang diberi peluang untuk membuat pemilihan kategori dan ada juga yang tidak mempunyai pilihan.
Saksikan Laporan Khas ‘Hantar Haram, Rezeki Halal? Menerusi AWANI745 bagi perincian mengenai isu terbabit.
Laporan Khas | Hantar haram, rezeki halal ke?
#JAKIM #Halal #Food Panda #grab #penghantar makanan
;