[Laporan Khas] Jangan seksa jenazah eksport dan import

Hilmi Malik
Jun 22, 2023 22:05 MYT
Sebaik sahaya nyawa ditarik, jasad yang kaku tanpa berbuat apa-apa hanya mengharapkan ihsan ahli keluarga mahu pun waris terdekat yang untuk mempersiapkan si mati sebelum menuju ke negeri abadi. - Gambar Astro AWANI
SETIAP yang bernyawa pasti akan menemui sang penciptaNya selepas dipinjamkan dengan kehidupan yang sementara di dunia.
Sebaik sahaya nyawa ditarik, jasad yang kaku tanpa berbuat apa-apa hanya mengharapkan ihsan ahli keluarga mahu pun waris terdekat yang untuk mempersiapkan si mati sebelum menuju ke negeri abadi.
Apa yang dituntut dalam Islam adalah untuk melaksanakan seberapa segera yang mungkin dalam pengurusan jenazah.
Perjalanan terakhir bagi jenazah mungkin mudah sekiranya kematian seseorang itu berada berhampiran dengan ahli keluarga.
Namun keadaan yang jauh berbeza bagi mereka yang meninggal dunia jauh dari pandangan keluarga dan ribuan batu jauhnya di luar negara.
Dilema mula melanda dalam kalangan ahli keluarga sama ada ingin membawa pulang jenazah untuk tatapan terakhir atau segerakan pengurusan di mana sahaja nafas terakhirnya dihembuskan.
Realitinya, ramai yang masih berpegang kepada istilah mahu menatap wajah insan yang tersayang buat kali terakhir.
Bagi mereka yang berkemampuan, wang ringgit mungkin bukan ukuran asalkan wajah yang bakal dirindui itu ada di depan mata ahli keluarga.
Bagaimanapun, dek kerana sayang, ramai yang tidak menyedari, jenazah insan tersayang itu bakal menanti fasa yang menyeksakan menerusi pelbagai prosedur yang perlu dilalui.
Proses tersebut pula tidak dilihat ahli keluarga sebaliknya ia perlu ditanggung oleh jenazah itu sendiri meskipun tidak lagi bernyawa.
Keputusan untuk membawa jenazah pulang dari luar negara bukanlah satu proses yang biasa kerana jenazah yang mahu diimport atau eksport perlu menjalani proses awetan kerana itulah polisi yang telah ditetapkan di negara luar.
Menurut Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), Muhammad Rafieudin Zainal Rasid, mayat perlu menjalani beberapa proses utama yang memakan masa beberapa jam sebelum ia diurus dengan fasa yang wajib.
“Mayat-mayat ini akan melalui satu proses di mana kita akan keluarkan dua urat dalam badannya dan kita cungkil keluar untuk masukkan cecair formalin ke dalam mayat bagi tujuan mengawet mayat supaya mampu tahan lebih lama (untuk bawa pulang).
“Selain itu ia juga (formalin) bertujuan untuk keluarkan darah dan cecair dalam badan mayat dan semuanya akan dibuang keluar.
“Proses seterusnya iaitu kaedah membuang organ-organ dalam badan… jantung, hati, limpa, usus, perut, buah pinggang dan segalanya akan dihancurkan dan disedut keluar kerana itu punca mayat membusuk dan akan dirodok dari perut dan bergerak ke semua kawasan organ.
“Kesemua organ-organ ini akan disalirkan ke tangki septik sebelum mayat ini diurus dengan proses yang biasa… mandi, kafan dan semua ini memakan masa dalam 1 hingga 2 jam,” katanya kepada Astro AWANI baru-baru ini.
Menurutnya lagi, melihat kepada proses yang dilalui oleh jenazah, pihaknya sendiri tidak menggalakkan proses itu untuk dilalui oleh si mati meskipun beliau mempunyai kepakaran dalam proses berkenaan.
“Mayat-mayat orang Islam ini dia sepatutnya disantuni dengan baik kita orang Islam hanya perlu melalui empat rukun iaitu mandi, solat, kafan dan kebumi.
“Namun bila keluarga ada yang buat permintaan untuk bawa pulang jenazah dari negara luar, maka mayat ini akan melalui satu perjalanan yang lama… pertamanya dia akan menyeksa mayat, sepatutnya disegerakan tetapi oleh kerana keinginan waris maka mayat terpaksa berdepan dengan proses yang menyeksakan termasuk perjalanan pulang yang panjang,” jelasnya.
Selari dengan saranan Rasulullah SAW, di mana seseorang itu meninggal dunia maka seelok-eloknya disitulah tempat dia dikebumikan.
Dari segi hukum, andainya ia tidak mempunyai sebarang keperluan dan mempunyai pihak yang arif untuk mengurus jenazah maka ia jatuh haram sekiranya masih meneruskan hasrat untuk membawa pulang jenazah.
Sementara itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berpendapat, ahli keluarga mahupun waris perlu diberi kefahaman yang jelas supaya perkara itu tidak membelenggu pemikiran mereka.
“Saya sarankan supaya difahamkan kepada mereka supaya jauh lebih baik kita kebumikan di tempat kita meninggal dunia kerana itulah yang disebut dalam hadis dan kita tengok ramai para sahabat nabi yang meninggal dunia di tempat yang jauh maka dikebumikan di kawasan itu.
“Banyak riwayat menyebut atau hikayat juga menyatakan bahawa disuruh kita begitu bertertib dan berlembut ketika kita menguruskan jenazah sama ada ketika mandi ketika kafan bahkan sampai kita hantar ke kubur dengan selamat… itu hak-hak kepada mayat yang sewajarnya dihormati,” katanya.
Laporan Khas: Jangan seksa jenazah untuk eksport dan import
#jenazah #negeri abadi #ahli keluarga #meninggal dunia
;