'Laporan kewangan Tabung Haji 2018 tidak dibentang, bukan tak buat' - Mujahid

Nursyazwani Saiful Sham
Ogos 14, 2020 15:42 MYT
Mujahid turut menggesa agar kementerian terlibat untuk membentangkan laporan tersebut dan tidak menyatakan laporan tersebut masih belum siap. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa menegaskan laporan kewangan Tabung Haji 2018 tidak dapat dibentangkan ekoran berlaku pertukaran kerajaan pada Februari 2020.
Beliau yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri menjelaskan sebarang proses pengauditan sudah diselesaikan dan pihaknya sepatutnya membentangkan laporan tersebut pada Mac 2020.
"Saya ingin jelaskan bahawa laporan kewangan pada 2018 sudah siap. Laporan tersebut sudah diaudit dan kami sepatutnya membentangkan laporan tersebut pada Mac 2020.
"Tetapi seluruh negara tahu apa yang berlaku pada Februari lalu di mana berlakunya pertukaran kerajaan dan kami tidak berpeluang untuk membentangkan laporan tersebut," jelasnya menerusi program Berani Semuka anjuran Sinar Harian yang turut menampilkan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim bagi membincangkan polemik pengurusan Lembaga Tabung Haji.

"Tidak ada laporan kewangan Tabung Haji 2018 sebab tidak dibentang, bukan kami tak buat" - Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa#BeraniSemukaSinarHarian @SinarOnline pic.twitter.com/rkfFrc7v0t

— Astro AWANI (@501Awani) August 14, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Pada sama sama, Mujahid turut menggesa agar kementerian terlibat untuk membentangkan laporan tersebut dan tidak menyatakan laporan tersebut masih belum siap.
"Sama seperti Datuk Azeez, saya juga mahu Tabung Haji diselamatkan, jadi untuk mengelakkan sebarang fitnah, laporan ini sudah siap," jelasnya.
Sebelum ini, Abdul Azeez dilaporkan menyoal tindakan pentadbiran Pakatan Harapan yang gagal membentangkan laporan tahunan TH pada tahun 2018 dan 2019.
Jelasnya, keperluan dan kewajipan menyediakan laporan tahunan penyata kewangan ini telah termaktub dalam Seksyen 5 dan 6, Akta Badan berkanun (Akaun dan Laporan Tahunan) 1980 (Akta 240).
#Abdul Azeez Abdul Rahim #Berani Semuka #laporan kewangan #Lembaga Tabung Haji #Pakatan Harapan #Tabung Haji