Laporan kewangan kerajaan pembangkang mencurigakan - Wakil BN

Bernama
Oktober 30, 2012 11:35 MYT
Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) hari ini meminta Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang untuk menjelaskan jumlah hasil pendapatan kewangan yang diperoleh kerajaan negeri di bawah pentadbiran pembangkang secara terperinci kerana angkanya meragukan.
Anggota Parlimen Lenggong Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata sebagai contoh di Pulau Pinang, laporan kewangan Laporan Ketua Audit Negara untuk tahun 2011 negeri itu dipercayai bukan jumlah yang sebenar.
"Dakwaan kerajaan negeri Pulau Pinang sebelum ini yang mengatakan bahawa hutang negeri itu turun kepada kepada RM600 juta adalah tidak tepat kerana jumlah RM600 adalah hutang yang dipindahkan oleh kerajaan pusat kepada kerajaan negeri Pulau Pinang untuk urusan berkaitan bekalan air di sana," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Turut hadir anggota Parlimen BN dari Ledang, Hamim Samuri, anggota Parlimen Hulu Selangor P. Kamalanathan dan Anggota pParlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Lain-lain anggota parlimen BN turut menyokong pendapat Shamsul dan menyatakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan laporan kewangan di semua kerajaan negeri di bawah pentabiran pembangkang.
"Difahamkan, kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang telah mengubah wang dari Akaun Amanah Disatukan dan mentakrifkannya sebagai hasil kewangan sebenar yang dicatat kerajaan negeri, tetapi sebenarnya wang Akaun Amanah adalah untuk kegunaan seperti memperbaiki jalan, memperbaiki kemudahan awam dan pelbagai perkara yang berkaitan," katanya.
Setiap kerajaan negeri mempunyai Akaun Amanah Disatukan, dana akaun itu akan diperoleh kerajaan negeri atau daripada kerajaan pusat, ia adalah satu daripada Akaun Kumpulan Wang Disatukan di mana semua penerimaan dan pembayaran wang amanah diakaunkan mengikut kehendak akta amanah, suratcara amanah, arahan amanah, undang-undang atau perjanjian, kata Shamsul.
Katanya terdapat tiga jenis hasil diperolehi kerajaan negeri iaitu hasil cukai, hasil bukan cukai dan hasil atau bantuan kewangan diterima dari kerajaan pusat.
Shamsul berkata mereka (anggota Parlimen BN) akan membuat permohonan kepada Ketua Audit Negara untuk mendapatkan maklumat itu pada masa yang terdekat ini untuk mengetahui perkara yang sebenar.
Sementara itu, anggota Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang juga Timbalan Pengerusi Kelab Anggota Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) berkata kerajaan negeri di bawah pentabiran pembangkang menggunakan pendekatan 'perakaunan kreatif' iaitu memutarbelit fakta.
"Pendekatan creative accounting ini adalah supaya mereka (pembangkang) digambarkan dalam Laporan Ketua Audit Negara sebagai kerajaan negeri yang menguruskan kewangan dengan baik," katanya.
Kerajaan negeri akan memindahkan dana dari Akaun Amanah negeri dan mencampurkannya dengan akaun kerajaan negeri seterusnya mengisytiharkan sebagai hasil kewangan yang diperolehi mereka tetapi sebenarnya wang itu tidak dijana secara sendiri, kata Abdul Rahman.
#Parlimen