Laporan kewangan kepada Muhyiddin bukan rahsia, ada fakta yang orang awam juga tahu - Zafrul
Firdaus Azil
Februari 20, 2022 12:16 MYT
Februari 20, 2022 12:16 MYT
JOHOR BAHRU: Laporan kewangan yang disampaikan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah seperti mana laporan-laporan lain yang diberikan ahli Kabinet tanpa mengira mana-mana parti, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tengku Zafrul berkata, Muhyiddin memerlukan laporan-laporan tersebut untuk mengambil keputusan yang tepat dalam membantu Perdana Menteri membawa Malaysia ke arah pemulihan pasca-COVID.
Fakta-fakta ekonomi yang ada di dalam laporan tersebut, jelas beliau lagi, merupakan fakta yang telah telah disebut berulang kali kepada Kabinet dan sesiapa sahaja orang awam.
“Saya tidak pernah sorok, baik melalui kenyataan media, ulasan saya dalam forum-forum, jawapan-jawapan Parlimen dan laporan-laporan agensi seperti Bank Negara, Jabatan Statistik dan sebagainya.
“Sebab itu sejak tahun lepas, kita sudah cakap mengenai Akta Tanggungjawab Fiskal untuk mengelakkan isu-isu seperti 1MDB, SSER dan sebagainya dari berlaku lagi,” katanya dalam kenyataan yang dikongsi di halaman Facebook beliau hari ini.
Semalam, Muhyiddin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional berkata, beliau akan mendedahkan situasi kewangan negara yang disifatkan semakin meruncing selepas UMNO dan Barisan Nasional mengambil alih.
Katanya lagi, maklumat itu diperoleh dari laporan yang diterima daripada Tengku Zafrul, sehingga menimbulkan pertanyaan jika laporan itu sulit, dan tidak patut didedahkan kepada pihak yang bukan ahli Kabinet.
Susulan kenyataan Muhyiddin itu, Pemuda UMNO Parti Sulong malam semalam membuat satu laporan polis, mendakwa maklumat kewangan negara adalah berkaitan maklumat sulit yang dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
“Presiden Bersatu tersebut bukanlah salah seorang daripada menteri Kabinet atau Perdana Menteri Malaysia yang masih berkuatkuasa atau individu yang berhak dibekalkan dengan mana-mana maklumat sulit negara.
“Tindakan dan kata-kata Presiden Bersatu tersebut kelihatan menjurus kepada ketidakpatuhan kepada dokumen rasmi negara yang dipercayai ianya tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972,” menurut kenyataan itu lagi.
Selain itu Pemuda UMNO Parit Sulong mendesak satu siasatan dimulakan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 untuk menyiasat kesahihan perkara tersebut, atau kemungkinan terdapat percubaan untuk melakukan apa-apa kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi dan undang-undang yang lain, yang mana keadaan itu boleh mengundang mudarat kepada Negara Malaysia.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, umum sedia maklum keadaan ekonomi negara buat masa ini, terutamanya selepas kesan negatif yang dibawa oleh COVID-19
“Namun seperti yang saya sebut, fokus utama kita sekarang adalah untuk memacu pemulihan negara agar rakyat dapat kembali hidup dengan selesa.
“Menjana pekerjaan, membawa pelaburan, membantu perniagaan adalah antara banyak strategi yang telah kita rancang untuk memacu pemulihan ini melalui dua tunggak utama: JaminKerja dan Semarak Niaga dalam Bajet 2022,” katanya lagi.
Tengku Zafrul berkata, beliau berharap semua pihak dapat terus memberi keutamaan yang paling penting kepada pemulihan ekonomi untuk rakyat.
“Kita berada di atas landasan yang betul di mana aktiviti ekonomi, baik dari perspektif makro, perniagaaan atau individu sedang beransur pulih dengan pantas berdasarkan indikator-indikator seperti pasaran kerja dan sebagainya.
“Saya yakin kita dapat pulih mengikut perancangan dan menjana ekonomi sekali gus terus membawa keyakinan kepada pelabur untuk terus datang ke Malaysia,” katanya lagi.