Laporan kemalangan kini boleh dibuat di semua balai polis - KPN
Aizat Sharif
Julai 4, 2013 17:55 MYT
Julai 4, 2013 17:55 MYT
Mangsa kemalangan jalan raya kini bukan sahaja boleh membuat laporan kemalangan di balai-balai polis trafik tetapi ianya telah diperluaskan ke seluruh balai-balai polis di Malaysia.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, langkah ini dibuat bertujuan memberi kemudahan kepada orang-ramai yang ingin membuat laporan kemalangan jalan raya.
“Walaupun kemalangan tersebut berlaku di Johor, laporan masih boleh dibuat walaupun mangsa berada di Perlis dan tidak ada masalah dalam hal ini,” kata Khalid kepada pemberita selepas menyaksikan penyerahan sumbangan Mitsubishi Lancer GT 2.0 oleh Plus Malaysia Berhad kepada Cawangan Trafik, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) siang tadi.
Dengan perlaksanaan sistem-dalam-talian “Police Reporting System” atau PRS yang kini telah disepadukan dengan sistem “Car Accident Reporting System” (CARS), segala data atau bentuk pengaduan mengenai kemalangan jalan raya akan dapat diperolehi menerusi sistem tersebut di setiap balai polis di seluruh negara kecuali Sabah dan Sarawak.
“Sistem PRS masih belum dapat dilaksanakan sepenuhnya di negeri Sabah dan Sarawak, oleh kerana itu juga sistem CARS itu juga tidak dapat diintegrasikan di kedua-dua negeri itu. Walau bagaimanapun, sistem tersebut telah berjaya diintegrasikan di negeri-negeri di seluruh Semenanjung dan laporan-laporan kemalangan jalan raya kini boleh dibuat di mana-mana sahaja ” katanya.
Disebabkan terdapat masalah ‘bidang kuasa’ kawasan, kes siasatan keseluruhan kemalangan itu bagaimanapun masih perlu dilakukan di tempat berlakunya kemalangan.
“Ini termasuklah pemerolehan lakaran gambar rajah tempat kemalangan dimana ianya perlu dilakukan di tempat terjadinya kemalangan itu. Namun, begitu siasatan awal seperti rakaman percakapan pengadu akan dilakukan di tempat laporan dibuat,” kata Khalid.
Ketika ditanya mengapa integrasi sistem PRS dan CARS ini tidak dapat dilaksanakan di Sabah dan Sarawak seiring dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.
“Sistem PRS ini sedang dilaksanakan di beberapa lokasi di kedua-dua negeri tersebut berikutan bentuk muka-bumi yang luas dan berbukit bukau dan disebabkan itu masa diperlukan untuk menguji dan memastikan sistem tersebut benar-benar berfungsi dengan baik,” kata Khalid.
Sistem itu dijangka akan dapat dilaksanakan dan diintegrasikan sepenuhnya di Sabah dan Sarawak selewat-lewatnya akhir tahun ini.