Laporan keberkesanan JKMPay dibentang dalam masa terdekat - Nancy
Bernama
Januari 4, 2023 18:50 MYT
Januari 4, 2023 18:50 MYT
PUTRAJAYA: Laporan kajian keberkesanan Pembayaran Bantuan Bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tanpa Tunai atau JKMPay akan dibentangkan dalam masa terdekat, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata kajian berkenaan telah selesai dijalankan oleh JKM, selain kajian terhadap projek rintis JKMPay yang dilaksanakan selama enam bulan pada 2021, di beberapa negeri.
"Sekarang ini kita tunggu laporan kerana kita mahukan manfaat yang lebih baik kepada pengguna JKMPay.
"Kalau lebih ramai gemar bayaran tunai, tiada masalah untuk buat pertukaran balik (daripada bayaran tanpa tunai) tetapi ia akan mengambil masa sebab ada sistem tertentu yang perlu dilalui," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat tahun baharu 2023 kepada warga Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di sini, hari ini.
Nancy berkata demikian sebagai mengulas cadangan Presiden OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi semalam agar JKMPay dimansuhkan kerana ia tidak mesra pengguna dan menyukarkan penerima untuk membuat pembelian dengan kad bayaran tanpa tunai.
Melalui JKMPay, penerima bantuan akan menerima 50 peratus daripada jumlah bantuan yang diluluskan dan dikreditkan ke dalam akaun Bank Islam, manakala baki 50 peratus akan dimasukkan ke dalam kad JKMPay.
Ia antara lain bertujuan membantu penerima untuk mengurus serta mengawal pembelanjaan wang bantuan secara berhemat.
Sebelum ini, dilaporkan sekumpulan persatuan Orang Kurang Upaya (OKU) turut menghantar memorandum agar JKMPay dimansuhkan kerana pemotongan 50 peratus bantuan membebankan golongan itu selain menyekat kebebasan untuk berbelanja kerana pembelian terhad beberapa barangan sahaja.
-- BERNAMA
#JKMPay
#Jabatan Kebajikan Masyarakat
#Nancy Shukri
#Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat