Laporan kajian gantian hukuman mati dibentang di Kabinet sebelum akhir Feb
Rahimah Abdullah
Januari 27, 2022 21:52 MYT
Januari 27, 2022 21:52 MYT
KUALA LUMPUR : Laporan Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori akan dibentangkan dalam mesyuarat jemaah menteri sebelum akhir Februari depan untuk pertimbangan dan persetujuan, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Jelasnya, pelaksanaan kajian yang dilaksanakan dalam tempoh empat bulan itu menepati hasrat kerajaan agar cadangan pemansuhan Akta Hukuman Mati Mandatori diberikan penelitian menyeluruh dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan.
"Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) hari ini telah diberi taklimat oleh Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dipengerusikan Yang Amat Berbahagia Tun Richard Malanjum, mantan Ketua Hakim Negara mengenai dapatan dan syor-syor laporan kajian Jawatankuasa Khas mengenai cadangan hukuman gantian bagi hukuman mati mandatori.
"Sesi taklimat tersebut amat signifikan dan menyokong keputusan Kerajaan pada 29 Ogos 2019 agar Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori ditubuhkan bagi melaksanakan kajian keseluruhan polisi penghukuman untuk menggantikan hukuman mati mandatori kepada hukuman yang lebih wajar tertakluk kepada budi bicara Mahkamah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pada taklimat itu juga beliau turut menyatakan bahawa tertakluk keputusan Jemaah Menteri, perubahan dasar keadilan negara berkaitan perkara ini merangkumi hukuman alternatif kepada 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori dan 22 kesalahan dengan budi bicara Mahkamah, akan mengambil masa untuk direalisasikan.
Ini termasuk pindaan peruntukan-peruntukan dalam akta-akta berkaitan serta perbincangan lanjut dengan pihak berkepentingan bagi tujuan ini.