Laporan jawatankuasa khas kaji kompetensi DUN gubal undang-undang Islam sedia dibentang

Bernama
Mac 6, 2025 18:20 MYT
Mohd Na'im pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan ketika Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Negara hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Dengan Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam telah menyediakan laporan kajian yang akan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja akan datang untuk perkenan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata kajian dibuat antaranya mengenai isu kompetensi DUN untuk menggubal undang-undang Islam, kedudukan dan bidang kuasa Mahkamah Syariah serta pengharmonian antara undang-undang sivil dan syariah.
"Taklimat gerak kerja Jawatankuasa Khas telah dibentangkan dalam Mesyuarat MKI Kali ke-72 pada 23 Ogos 2024.
"Bagi memastikan kajian yang komprehensif dibuat, sesi libat urus dengan pihak berkepentingan telah dibuat oleh Jawatankuasa Khas," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Musoddak Ahmad yang meminta perkembangan terkini kajian Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Dengan Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.
Beliau berkata antara sesi libat urus dilaksanakan adalah melibatkan Jawatankuasa Muzakarah MKI, Mufti Negeri, Majlis Agama Islam Negeri, Ketua Hakim Syarie Negeri, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan pakar perundangan dan perlembagaan.
"Pendekatan sedemikian secara tidak langsung dapat membantu Jawatankuasa Khas untuk melihat semua aspek berkaitan secara holistik sama ada daripada aspek Perlembagaan Persekutuan, perundangan sivil dan Syariah termasuklah Hukum Syarak bagi memastikan laporan kajian yang komprehensif dapat dihasilkan," katanya.
Menjawab soalan tambahan Musoddak mengenai cadangan seorang Ahli Parlimen yang mahukan pakar bukan Islam untuk menyertai Jawatankuasa Khas itu, Mohd Na'im berkata ia tidak dianggotai orang bukan Islam namun beberapa siri libat urus telah dilakukan melibatkan pertubuhan bukan Islam.
Pada masa sama, Jawatankuasa Khas itu turut memanggil pertubuhan bukan Islam bagi mendapatkan pandangan dalam beberapa isu berkaitan dengan mereka seperti perkahwinan dan memeluk Islam serta konflik yang timbul melibatkan mahkamah syariah atau sivil yang memerlukan rujukan.
"Jawatankuasa Khas ini berperanan sebagai rujukan utama untuk melihat sejauh mana pertindihan bidang kuasa antara negeri dan Persekutuan," katanya bagi menjawab soalan tambahan Senator Hussin Ismail.
-- BERNAMA
#jawatan kuasa khas #kompetensi DUN gubal undang-undang Islam #Mohd Na'im Mokhtar #perkenan Raja-Raja #Dewan Negara
;