Laporan Interim ERC diserah kepada PM tujuh bulan lagi
Rahimah Abdullah
Februari 21, 2019 21:32 MYT
Februari 21, 2019 21:32 MYT
Laporan Interim Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) akan disiapkan dalam tempoh tujuh bulan lagi dan diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ujar Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.
Ketika ini, ERC sedang dalam proses menyiapkan kerangka laporan berkenaan.
“Saya akan bawa laporan itu ke Perdana Menteri dan beliau kemudian akan bawa ke kabinet. Kita haraplah, itu adalah tempoh yang saya tetapkan. Dalam masa tujuh bulan kita akan buat laporan interim dan kemudian akan dapatkan rekomendasi kerajaan selepas itu.
“Namun bukan semua syor itu kita akan dilaksanakan serentak. Kita harap seberapa banyak yang boleh apa yang kita syorkan itu dilaksanakan sebab kita hantar laporan dalam masa tujuh bulan dan tahun depan kita nak buat undang-undang,” katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.
Penambahbaikan undang-undang itu katanya akan dilakukan pakar yang berkaitan.
Malah laporan interim berkenaan akan turut didedahkan kepada umum.
“Ini kerana kita nak supaya demokrasi kita supaya kita sama dengan negara yang membangun dan diterima masyarakat dunia,” tambahnya.
Ketika ini, terdapat kira-kira 15 komponen menjadi antara intipati draf laporan interim itu.
“Kita sudah bincang semua lapan kluster, 15 komponen. Belum selesai lagi, mungkin satu dua pilihan raya kita sudah mula tulis draf untuk komponen itu.
“Bermula dari pembubaran, kemudian penamaan calon, kempen, pilihan raya, keputusan pilihan raya, kemudian petisyen, atau lepas itu ada kes mahkamah. Ini semua di bawah satu komponen yang besar. Kita sudah ada kerangkanya,” kata beliau lagi.