Laporan insiden pesawat ringan mendarat cemas dalam masa sebulan - Tiong Lai
Wan Syamsul Amly
Jun 5, 2017 19:00 MYT
Jun 5, 2017 19:00 MYT
Laporan insiden sebuah kapal pesawat ringan milik persendirian yang mendarat cemas di atas jejambat yang belum beroperasi di Lebuhraya Nusajaya Pulai pada pagi Ahad akan diumum dalam masa satu bulan.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya sudah mengarahkan siasatan segera dibuat selain mengenal pasti punca insiden berkenaan.
Jelasnya, ia tidak mengambil masa lama kerana tiada sebarang kejadian melibatkan kemalangan jiwa ketika kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 10.30 pagi Ahad itu.
"Kita bernasib baik kerana tiada kematian. Kita juga sudah mengarahkan siasatan segera dilakukan oleh bahagian siasatan kementerian untuk mendapatkan punca kemalangan.
"Selalunya jika tidak ada isu, laporan akan disiapkan dalam sebulan, biasanya akan cepat," katanya pada sidang media selepas merasmikan buku Historical Series 1, Honorary Fellowship Conferment' Alumni Kolej Tunku Abdul Rahman di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman dalam satu kenyataan berkata pesawat terbabit ialah jenis Piper PA28 yang dikendalikan Kelab Penerbangan Elite.
Katanya pesawat itu dilaporkan dalam latihan penerbangan sebelum mendarat cemas.
Pihak Biro Siasatan Kemalangan Udara juga dilaporkan akan menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kemalangan.mengesahkan kejadian kemalangan yang melibatkan pesawat ringan tersebut.
Dalam pada itu kata Liow, sebarang laporan nahas udara akan dimuat naik di laman sesawang Kementerian Pengangkutan di www.mot.gov.my.
Jelasnya, ia bukti ketelusan pihaknya dalam menjalankan siasatan selain memudahkan masyarakat merujuk sebarang insiden di laman sesawang.
Dalam perkembangan berasingan, Liow memaklumkan laporan akhir nahas udara Eurocopter AS350 di Sungai Batang Lupar, Sarawak Mei tahun lalu berpunca daripada keadaan cuaca dan juruterbang yang tidak mahir di lokasi berkenaan.
Dalam nahas 5 Mei itu, helikopter malang terbabit dalam penerbangan dari Betong pada pukul 4.12 petang menghala ke Kuching, terputus hubungan dan hilang daripada radar.
Selain Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan Dan Komoditi, Allahyarham Datuk Noriah Kasnon, penumpang lain yang berada di dalam helikopter itu ialah Anggota Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Sundaran Annamalai dan suami Noriah, Asmuni Abdullah.
Turut berada dalam penerbangan tersebut adalah pegawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri yang turut menaiki helikopter yang dikemudi juruterbang warga Filipina Rudolf Rex Ragas.