Laporan Farid Kamil: Dua artis belum tampil bantu siasatan
Astro Awani
Februari 9, 2018 18:14 MYT
Februari 9, 2018 18:14 MYT
Dua lagi artis yang diminta untuk tampil membantu siasatan berhubung laporan polis yang dibuat pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil sebelum ini masih belum tampil sehingga petang Jumaat.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata setakat petang ini, kedua-duanya belum tampil memberi keterangan.
"Sekiranya mereka gagal berbuat demikian, kita akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut prosedur ditetapkan," katanya kepada Astro AWANI.
Difahamkan dua individu terbabit daripada kumpulan nasyid dan sebuah kumpulan R&B, yang popular sekitar tahun 90-an.
Polis sebelum ini memberi tempoh 24 jam kepada dua individu terbabit untuk berjumpa polis untuk memberi keterangan berhubung dakwaan Farid yang minumannya dimasukkan dadah.
Terdahulu, pelakon KL Gangster yang ditahan Selasa lalu selepas hadir memberi keterangan berhubung laporan polis Farid, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini selepas reman tiga hari.
Pelakon berusia 48 tahun yang popular dengan watak antagonis itu ditahan di Balai Polis Mutiara Damansara, Selasa selalu selepas ujian saringan air kencing ke atasnya didapati positif dadah jenis ganja sejurus selesai memberi keterangan.
Pelakon itu adalah salah seorang daripada tiga individu yang diminta tampil memberi keterangan berhubung laporan polis oleh Farid itu.