Laporan DoJ: Tun Dr Mahathir kemuka tiga langkah yang perlu diambil

Astro Awani
Julai 21, 2016 19:15 MYT
Tun Mahathir berkata, siasatan DOJ merupakan titik tolak di mana penjelasan terperinci perlu dibuat berhubung kes ini. - Foto Astro AWANI / Shahir Omar
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan tiga tindakan yang boleh diambil susulan pembentangan laporan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ).
Pertama, penubuhan tribunal bebas; kedua, mengadakan pengutan suara dan ketiga, mengadakan perhimpunan aman.
"Rakyat negara ini penakut. Di negara-negara lain, jutaan akan turun ke jalanan. Rakyat Malaysia ini, baik-baik, kita biasanya tidak berbuat apa-apa (tunjuk perasaan).
"Saya rasa kita perlu adakan satu perhimpunan aman untuk menuntut penyingkirannya (perdana menteri)," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Semua itu sebagai usaha menangani kemelut berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Tun Mahathir berkata, siasatan DOJ merupakan titik tolak di mana penjelasan terperinci perlu dibuat berhubung kes ini.
"Jika Peguam Negara tidak ambil sebarang tindakan, maka saya rasa ia melanggar undang-undang kerana mereka yang terlibat adalah pemimpin, pegawai kerajaan dan sebagainya.
"Anda tidak boleh biarkan mereka membuat keputusan, tapi ia perlu dilakukan oleh kerajaan sedia ada.
"Ia sepatutnya ada badan sementara yang akan memantau siasatan terperinci dan jika ada alasan kukuh, individu itu perlu dibawa ke muka pengadilan," katanya.
Menurut beliau, tindakan susulan berhubung laporan DOJ perlu diambil kira memandangkan laporan tersebut disediakan pakar dan menimbulkan pelbagai soalan.
Sementara itu, bekas Pengerusi BERSIH, Datuk Ambiga Sreenevasan, yang turut hadir, menyatakan bahawa badan pemantau pilihan raya sedang mempertimbangkan cadangan berkenaan.
"Ia sedang dipertimbangkan. BERSIH sedang mempertimbangkan sama ada perlu ada perhimpunan," katanya.
#ekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad #laporan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) #pengutan suara #Perhimpunan Aman #tribunal bebas
;