Laporan DOJ: Kerajaan, 1MDB perlu jadi pencelah kalau tidak bersalah

Harits Asyraf Hasnan
Julai 24, 2016 21:00 MYT
DATUK TAKIYUDDIN: Kerajaan Malaysia dan 1MDB mempunyai kepentingan dalam perkara tersebut kerana ia disebut oleh DOJ dalam saman sivil berkenaan. -Gambar fail
PAS meminta Kerajaan Malaysia dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk memohon sebagai pencelah (intervenor) kepada Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) susulan saman sivil yang dikemukakan Rabu lalu.
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata kerajaan Malaysia dan 1MDB mempunyai kepentingan dalam perkara tersebut kerana ia disebut oleh DOJ dalam saman sivil berkenaan.
"Saya nak mencadangkan kerajaan dalam kes DOJ ini, kalau betul kerajaan atau 1MDB rasa tidak bersalah, mereka kena masuk dalam kes di Amerika Syarikat ini sebagai pencelah (intervenor).
"Bila nama 1MDB disebut dalam saman itu, jadi bermakna kerajaan Malaysia ada kepentingan sebab 1MDB adalah 100 peratus hak milik Kementerian Kewangan.
"Jadi kerajaan Malaysia atau 1MDB perlu letakkan diri mereka sebagai pencelah dalam saman DOJ," katanya dalam sidang media bersama Persatuan Pribumi Perkasa (Perkasa) di Wangsa Maju, di sini hari ini.
Tegasnya lagi, tindakan saman sivil yang dilakukan DOJ itu bukanlah asing.
"Apa yang dibuat oleh DOJ itu bukan perkara luar biasa. Di Malaysia sendiri kita ada undang-undang berkaitan dadah dipanggil akta untuk merampas harta-harta di bawah dadah," katanya.
Pada majlis itu, Takiyuddin turut mengadakan sesi taklimat dan penerangan khas berkaitan Rang Undang-undang Pindaan Akta 355 kepada Ahli Dewan Tertinggi dan Exco Sayap Perkasa.
#1Malaysia Development Berhad #1MDB #intervenor #Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) #kerajaan malaysia #PAS #pencelah #saman sivil
;