Laporan: Dakwaan jenayah terhadap Ralph Marshall tiada merit, permintaan Notis Merah Interpol ditolak - Peguam

Agensi
Mac 10, 2021 19:48 MYT
Marshall diumumkan sebagai peneraju di DNB oleh kerajaan untuk pengambilalihan bagi membangunkan teknologi 5G di Malaysia. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Dakwaan yang dibuat India dan Indonesia terhadap Ketua Pegawai Eksekutif Digital Nasional Berhad (DNB) yang baru dilantik, Ralph Marshall, adalah tidak berasas, menurut peguamnya Judith Seddon.
Ini adalah susulan penolakan Interpol terhadap Notis Merah dari kedua negara tersebut, lapor Malay Mail.
Seddon membuat kenyataan itu dalam surat bertarikh 5 Februari, sebelum Marshall diumumkan sebagai peneraju di DNB oleh kerajaan untuk pengambilalihan bagi membangunkan teknologi 5G di Malaysia.
“Saya tidak menganggap tuduhan jenayah India atau Indonesia itu mempunyai asas. Pandangan itu disokong oleh penolakan tuduhan oleh Mahkamah Khas di India, dan penghentian siasatan jenayah di Indonesia.
"Suruhanjaya Pengendalian Interpol, selepas meneliti setiap kes dengan teliti telah menolak permohonan Notis Merah," katanya dalam surat itu.
India telah memohon Notis Merah ke atas Marshall berikutan perselisihan perniagaan, di mana Marshall dan seorang figura konglomerat terkemuka dinamakan dalam pertuduhan tersebut.
Difahamkan, Interpol menolak permohonan itu dengan alasan ia tidak mematuhi peraturan organisasi, setelah mendapati ia bersifat politik dan peribadi.
Prosiding di India adalah mengenai pengambilalihan Aircel India oleh Maxis dari Siva Ventures Limited, sebuah syarikat milik C. Sivasankaran pada tahun 2006.
Pada bulan November 2009, Sivasankaran mengemukakan prosiding timbang tara terhadap Maxis di Singapura, yang mendakwa Maxis telah melanggar kontrak. Pada 2011, beliau kalah dalam kes tersebut.
"Jelas bahawa tuntutan rasuah dan paksaan yang dibuat terhadap Maxis dan wakilnya berpunca dari perselisihan peribadi antara Sivasankaran dan dibuat setelah jelas bahawa tuntutan itu akan gagal," kata Seddon.
Dalam suratnya, Seddon mengatakan tuduhan jenayah di Indonesia pertama kali dibuat terhadap Marshall 12 tahun lalu.
Seddon menegaskan bahawa tuduhan jenayah tersebut dihentikan oleh polis Indonesia beberapa kali, dengan kali terakhir pada bulan Ogos 2016.
Beliau memaklumkan proses sivil yang dibawa berkaitan dengan fakta yang sama juga ditolak oleh Mahkamah Agung Indonesia pada 3 Jun 2020.
"Interpol menolak permohonan (oleh Indonesia untuk mendapatkan Notis Merah) pada bulan Mei 2014, dan membuang maklumat berkaitan dari fail Interpol," katanya.
#Ralph Marshall #Astro #Maxis #Interpol #Indonesia #India #mahkamah #jenayah #Rasuah #politik #siasatan
;