Laporan Chilcot 'mengecewakan' - Penganalisis

Tan Su Lin
Julai 8, 2016 18:22 MYT
Penganalisis Politik dan Pakar Geo Strategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Azmi Hassan
Susulan Laporan Chilcot yang merumuskan keputusan Britain untuk menyertai perang Iraq dibuat berdasarkan sumber risikan yang tidak sahih, penganalisis politik Dr Azmi Hassan hari ini menyifatkan laporan itu sebagai "mengecewakan".
Menurut Pakar Geo Strategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu, laporan rasmi mengenai konflik perang Iraq yang diterbitkan pada 6 Julai itu tidak menyatakan bahawa perbuatan itu adalah sah atau sebaliknya dari sisi perundangan.
"Amat mengecewakan kerana laporan Chilcot tidak menyatakan sama ada keputusan itu adalah sah atau tidak dari segi perundangan.
"Itu sebenarnya adalah asas untuk membawa (bekas perdana menteri Britain) Tony Blair ke muka pengadilan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.
Ia juga sekaligus menjadikan usaha untuk membawa Blair dan bekas presiden Amerika Syarikat, George W. Bush ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) amat sukar dilakukan, katanya.
"Sebaik sahaja laporan Chilcot dikeluarkan, pendakwa raya ICC menyatakan bahawa mandat yang ada pada mereka tidak membenarkan mereka membawa kedua-dua Blair dan Bush ke muka pengadilan.
"Tetapi ironinya, bukan Blair yang akan dibawa ke muka penghadilan, ICC mengatakan mereka akan mengkaji laporan Chilcot, dan jika ada (kesalahan), mereka akan membawa askar-askar Britain yang dikatakan membuat salah laku dalam laporan berkenaan.
"Ini dikatakan sebagai satu ironi. 'Jerung besar' terlepas, 'ikan bilis' yang akan didakwa," kata Dr Azmi.
Blair telah mengaku memberi sokongan kepada Bush untuk membuat perubahan rejim di Iraq, lapan bulan sebelum pencerobohan yang diketuai Amerika Syarikat ke atas Iraq dilancarkan pada Mac 2003.
Dr Azmi melihat akibat daripada perbuatan dua pemimpin negara itu telah mencetuskan pergerakan kumpulan militan Negara Islam (IS).
"Masalahnya ialah, iktibar tidak dipelajari. Bukan sahaja rakyat Iraq merasa sengsaranya, kita juga secara langsung telah merasainya.
"Kerana, apa berlaku di Iraq ialah, terbitnya kumpulan militan Negara Islam dan baru dua minggu lepas kita merasa bahananya.
"Jadi, bukan sahaja negara Arab dan Iraq, kita juga di Malaysia turut merasainya. Itu dikatakan iktibar kesalahan pemimpin dunia sedekad yang lepas," katanya lagi.
Apa yang nyata, kata Dr Azmi, disebabkan pemimpin negara enggan mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku, menyebabkan kehilangan terlampau banyak nyawa sejak pencerobohan Iraq hinggalah ke hari ini.
#Dr Azmi Hassan #laporan chilcot
;