Laporan bulanan kemajuan projek kerajaan mampu elak ketirisan - KSN
Bernama
Januari 8, 2024 04:30 MYT
Januari 8, 2024 04:30 MYT
KUALA LUMPUR: Pelaporan secara bulanan mengenai kemajuan pelaksanaan projek kerajaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membantu mengelakkan ketirisan bagi setiap projek, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Mohd Zuki berkata dengan kaedah itu, segala perincian kos akan dikemukakan secara lebih jelas dan telus termasuk penelitian pelbagai isu seperti analisis ke atas aliran tunai, isu teknikal dan sebagainya.
Katanya pelaporan bulanan itu juga dapat memantau dan meneliti pelaksanaan setiap inisiatif atau projek berimpak tinggi bagi memastikan ia mengikut perancangan serta semua projek kerajaan dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.
"Sekiranya terdapat kelewatan, tindakan pembaikan dapat diambil dengan segera.
"Pendekatan sebelum ini juga akan diteruskan, namun akan ditambah baik dengan penekanan baharu di mana ini memerlukan komitmen semua pihak dan perkara-perkara penting akan terus dilaporkan kepada Jemaah Menteri," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.
Mohd Zuki berkata melalui pelaporan secara bulanan itu, rakyat juga dapat melihat setiap projek kerajaan dilaksanakan secara telus tanpa campur tangan pihak tidak berkepentingan.
"Malah, projek yang dilaksanakan untuk memberi manfaat kepada rakyat, dapat diselesaikan dengan cepat dan telus," katanya.
Ditanya sama ada kontraktor yang gagal menyempurnakan projek mengikut masa ditetapkan akan disenarai hitam, beliau berkata siasatan terperinci perlu dilakukan terlebih dahulu bagi mengetahui sebab berlakunya kelewatan sesuatu projek.
"Sekiranya kontraktor didapati gagal mematuhi syarat-syarat kontrak, maka kontraktor terbabit boleh disyorkan untuk disenaraihitamkan," katanya.
Terdahulu, Anwar dilaporkan mengarahkan ketua setiausaha (KSU) kementerian dan ketua jabatan untuk mengemukakan laporan bulanan mengenai kemajuan dan sumbangan penjawat awam dalam melaksanakan projek kerajaan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata laporan berkenaan perlu dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara sebelum dimaklumkan kepada beliau.
-- BERNAMA