Laporan bedah siasat Thaqif Amin belum diperoleh - Subramaniam

Bernama
Mei 1, 2017 18:50 MYT
Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata setelah laporan bedah siasat berkenaan diperoleh barulah kementerian boleh menjelaskan punca sebenar kematian kanak-kanak berusia 11 tahun itu.
Kementerian Kesihatan masih belum mendapat laporan penuh bedah siasat kematian pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi yang dilaporkan dipukul seorang pembantu warden.
Menterinya Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, setelah laporan bedah siasat berkenaan diperoleh barulah kementerian boleh menjelaskan punca sebenar kematian kanak-kanak berusia 11 tahun itu.
"Kita tidak nafikan kemungkinan ada penyakit lain yang dihidapi kanak-kanak itu tapi apa-apa pun kita tunggulah laporan penuh dahulu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Pemukiman MIC: Persiapan Menjelang PRU14 di Universiti Aimst dekat sini, hari ini.
Kisah Mohamad Thaqif Amin yang dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru pada 19 April menjadi tular di media sosial selepas dilapor mengalami kecederaan pada bahagian kaki dipercayai akibat dipukul pembantu warden madrasahnya.
Selepas kedua-dua kakinya dipotong, tangan kanan Mohamad Thaqif Amin pula dijangkiti kuman akibat darah beku dan dijadual dipotong dari jari hingga bawah siku, namun pembedahan ditangguhkan kerana jantung pelajar itu dilaporkan tidak stabil.
Bagaimanapun, pelajar itu meninggal dunia pada 26 April lalu.
Kisah itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta siasatan kes kematian tersebut dipercepatkan.
-- BERNAMA
#bedah siasat #Datuk Seri Dr S Subramaniam #Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi #tahfiz
;