Laporan bedah siasat kaki pelajar tahfiz diketahui dua minggu lagi

Bernama
Jun 11, 2017 21:58 MYT
Mohamad Thaqif Amin, yang kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong akibat jangkitan kuman yang didakwa kesan dipukul pembantu warden asrama sekolah tahfiz berkenaan, meninggal dunia pada 26 April lepas. - Gambar fail
Laporan bedah siasat kedua-dua belah kaki pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi yang meninggal dunia April lepas akan diketahui dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
Beliau berkata tempoh itu diperlukan kerana pihak Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru sedang melakukan siasatan kedua selepas meneliti laporan bedah siasat kedua-dua belah kaki pelajar berkenaan.
Dr Subramaniam berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pusat khidmat bagi Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan (SITF) cawangan Ijok, di sini hari ini.
Mohamad Thaqif Amin, 11 yang kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong akibat jangkitan kuman yang didakwa kesan dipukul pembantu warden asrama sekolah tahfiz berkenaan meninggal dunia pada 26 April lepas.
Allahyarham dimasukkan ke hospital selepas kesihatannya merosot setelah dibawa keluar dari sekolah tahfiz di Kota Tinggi tersebut pada 31 Mac.
Susulan kes itu polis menahan pembantu warden lelaki berusia 29 tahun tersebut untuk membantu siasatan, bagaimanapun dia dibebaskan pada 3 Mei lalu dengan jaminan bon mahkamah sebanyak RM20,000.
Pada Jumaat lepas, media melaporkan keluarga Allahyarham Mohamad Thaqif Amin mempersoalkan tindakan pihak yang berkenaan apabila tiada bedah siasat dilakukan terhadap kedua-dua belah kaki kanak-kanak itu pada peringkat awal siasatan kematian.
Keluarga Allahyarham turut mendakwa belum menerima sebarang laporan bertulis berhubung prosedur rawatan dan pembedahan sepanjang kanak-kanak tersebut ditempatkan di HSI bermula 19 April lepas.
-- BERNAMA
#bedah siasat #kematian #Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi #S Subramaniam #siasatan kedua #tahfiz
;