Laporan bedah siasat belum siap, kes bunuh Farah Kartini tangguh tiga bulan

Khalis Khadir
Oktober 7, 2024 12:16 MYT
Sebutan semula kes pada 10 Disember dibuat selepas mahkamah dimaklumkan pihak pendakwaan masih lagi menunggu laporan kimia dan bedah siasat yang belum diperoleh. - Gambar fail
KUALA KUBU BHARU: Mahkamah Majistret di sini pada Isnin menetapkan 10 Disember depan bagi sebutan kes bunuh graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah.

Ringkasan AI
  • Tarikh sebutan baharu: Kes bunuh graduan UPSI, Nur Farah Kartini Abdullah, akan disambung semula pada 10 Disember seperti ditetapkan oleh Mahkamah Majistret setelah laporan kimia dan bedah siasat belum diterima.
  • Tertuduh didakwa: Lans Koperal Muhammad Alif Monjani didakwa membunuh Nur Farah Kartini di ladang kelapa sawit SKC Kledang, Hulu Bernam antara 10 hingga 15 Julai.
  • Seksyen 302 Kanun Keseksaan: Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Majistret Nurul Izzah Hasan Basri memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya Eirene Nabila Amani Williams mencadangkan tarikh sebutan baharu.
Ia selepas dimaklumkan pihak pendakwaan masih lagi menunggu laporan kimia dan bedah siasat yang belum diperoleh.
Peguam bela, Nur Aida Zainuddin mewakili tertuduh yang merupakan anggota polis berpangkat Lans Koperal Muhammad Alif Monjani, 26, tidak membantah permohonan itu.
Tiga peguam pemerhati yang dilantik keluarga mangsa, Mohd Norazihan Adnan, Luqman Hakim Azhar dan Goh Chee Kian hadir dalam prosiding pada Isnin.
Muhammad Alif yang bertugas di Perak didakwa membunuh Nur Farah Kartini di ladang kelapa sawit SKC Kledang, Hulu Bernam antara 9 pagi 10 Julai hingga 6 petang 15 Julai lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman mati jika sabit kesalahan.
Nur Farah Kartini dilaporkan hilang pada 10 Julai sebelum mayatnya dijumpai di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam sekitar jam 6 petang lima hari kemudian.
#Nur Farah Kartini #Alif Monjani #graduan UPSI #kes bunuh
;