Laporan Bank Dunia: Sistem pendidikan didakwa ketinggalan, MASA gesa tindakan segera

Astro Awani
Mei 1, 2024 13:03 MYT
AZRIL: Membantu anak-anak yang tercicir perlu jadi keutamaan dalam sistem pendidikan kita; KPM perlu ambil tanggungjawab ini dengan lebih serius.
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mengambil tindakan segera dan tidak hanya bersikap pasif terhadap laporan Bank Dunia bertajuk 'Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundational Skills' yang memberi gambaran membimbangkan tentang sistem pendidikan awal di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (MASA) Azril Mohd Amin berkata, pihaknya memandang serius isu tersebut dan mencadangkan agar penelitian tuntas dan telus terhadap sistem pendidikan dilakukan segera terhadap beberapa perkara.
"Antaranya, mewujudkan kurikulum yang berfokus kepada kemahiran bagi menepati keperluan, latar belakang, tahap atau minat murid lemah akademik.
"Selain itu, mengaktifkan jawatankuasa khas di peringkat sekolah dengan dianggotai semua pihak berkaitan seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, sekolah, komuniti, ketua kampung atau taman dan badan bukan kerajaan.
"Ini termasuk memastikan jawatankuasa yang dibentuk bekerjasama dalam menangani fenomena keciciran (ponteng sekolah), meningkatkan penguasaan 3M (membaca, menulis, mengira) dan memberi kemahiran yang diperlukan murid," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
BACA: KPM giat laksana pelbagai inisiatif bagi reformasi pendidikan negara
BACA: Kanak-kanak Malaysia tidak cukup belajar di sekolah - Laporan Bank Dunia
Mengulas lanjut, Azril berkata, pendefinisian Akta Pendidikan Wajib perlu segera dilakukan dan diperkasakan, serta merangkumi pendidikan peringkat menengah.
"Ini ditambah dengan usaha bagi membantu murid B40 dalam memenuhi keperluan keperluan asas, keselamatan, kasih sayang, penghargaan dan sempurna kendiri mereka yang perlu diberi perhatian," ujarnya.
Dalam pada itu, Azril menegaskan, Pelan Pendidikan Bukan Formal untuk Menangani Keciciran perlu diperkenalkan sebagai alternatif bagi menangani isu keciciran pembelajaran, khususnya dalam kalangan pelajar B40.
"Hal ini juga perlu diperkukuh dengan penglibatan organisasi masyarakat sivil.
"Membantu anak-anak yang tercicir ini perlu menjadi keutamaan dalam sistem pendidikan kita. KPM perlu ambil tanggungjawab ini dengan lebih serius beserta sokongan dan bantuan semua pihak berkenaan," ujarnya.
Pada Isnin, Bank Dunia mengeluarkan laporan yang antara lain menyatakan, walaupun perbelanjaan besar diperuntukkan kepada sektor pendidikan, iaitu 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar, namun tahap pembelajaran dalam kalangan pelajar masih jauh ketinggalan.
Hanya 58 peratus pelajar di Malaysia mampu menguasai kemahiran membaca menjelang akhir Tahun Lima - jauh ketinggalan berbanding negara-negara lain di rantau ini, termasuk Vietnam.
Laporan itu turut mendakwa wujud ketidakcekapan dan mempersoalkan tahap kualiti pendidikan di negara ini, apabila menyatakan murid yang menghabiskan purata 12.5 tahun di sekolah di Malaysia mempunyai tahap pembelajaran yang bersamaan dengan 8.9 tahun sahaja.
Azril berkata, dapatan Bank Dunia juga selari dan mengesahkan laporan ringkasan dasar 'Pelan Pendidikan untuk Menangani Keciciran Murid di Sekolah Rendah dan Menengah Malaysia' yang dilaksanakan secara kolaboratif antara MASA dan Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2022.
"Kajian MASA-UKM tersebut mendapati di 19 buah sekolah yang dikaji, antara 10 dan 20 peratus murid sering kali cicir daripada persekolahan (tidak hadir ke sekolah) dan majoriti murid tersebut tidak menguasai kemahiran 3M.
"Walaupun dasar pendidikan wajib sekolah rendah dilaksanakan sejak 2003, serta pelbagai usaha telah dibuat untuk menarik minat murid ke sekolah, malangnya fenomena keciciran persekolahan dan pembelajaran masih gagal ditangani sepenuhnya," ujarnya.
Tambahnya, kajian turut menunjukkan wujudnya keperluan memperkukuh kolaborasi antara KPM, KPWKM, komuniti dan lain-lain pihak berkaitan dalam menangani isu yang semakin membimbangkan ini.
Sistem pendidikan ketinggalan, MASA gesa kerajaan tidak bersikap pasif
#Azril Mohd Amin #Kementerian Pendidikan #Laporan Bank Dunia #pendidikan
;