Laporan awal nahas helikopter AS350 selesai

Tan Su Lin
Jun 16, 2016 17:45 MYT
Kerangka utama helikopter berkenaan juga masih hilang dan dipercayai tenggelam di dasar sungai. - Gambar fail
Siasatan awal nahas udara Eurocopter AS350 di Sungai Batang Lupar, Sarawak Mei lalu masih lagi gagal mengenal pasti punca kejadian yang meragut enam nyawa termasuk Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan Dan Komoditi, Allahyarham Datuk Noriah Kasnon.
Menurut laporan awal nahas yang dikeluarkan Biro Siasatan Kemalangan Udara, kerangka utama helikopter berkenaan juga masih hilang dan dipercayai tenggelam di dasar sungai.
Bagaimanapun laporan awal mengesahkan bahawa keadaan cuaca buruk di sekitar kawasan kemalangan.
Namun tiada panggilan kecemasan dibuat oleh juruterbang, mahupun isyarat kecemasan dari helikopter tersebut.
Helikopter itu juga mempunyai kelayakan sah untuk penerbangan dan dikendalikan oleh juruterbang yang berpengalaman. Bagaimanapun helikopter itu tidak dilengkapi dengan alat perakam suara dan penerbangan.
Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam satu kenyataan, pasukan penyiasat telah memaklumkan kesemua waris dan ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi ini berkaitan pengeluaran laporan awal tersebut.
"Laporan awal ini mengadungi fakta-fakta yang telah dikenalpasti sejak kejadian sehingga kini berdasarkan maklumat sejarah penerbangan, bukti dan serpihan dari lokasi nahas, perakuan kelayakan terbang, rekod penyelenggaraan, rekod juruterbang dan maklumat meteorologi.
"Kesemua maklumat yang terkandung di dalam laporan tersebut adalah bersifat tentatif dan tertakluk kepada perubahan atau maklumat lanjut sekiranya terdapat bukti tambahan," menurut Liow dalam kenyataan terbabit.
Laporan awal nahas kejadian udara itu juga dimuat naik ke laman web Kementerian Pengangkutan di www.mot.gov.my.
Dalam nahas 5 Mei itu, helikopter malang terbabit dalam penerbangan dari Betong pada pukul 4.12 petang menghala ke Kuching, terputus hubungan dan hilang daripada radar.
Selain Noriah, penumpang lain yang berada di dalam helikopter itu ialah Anggota Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Sundaran Annamalai dan suami Noriah, Asmuni Abdullah.
Turut berada dalam penerbangan tersebut adalah pegawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri yang turut menaiki helikopter yang dikemudi juruterbang warga Filipina Rudolf Rex Ragas.
#Batang Lupar #DCA #Eurocopter AS350 #helikopter hilang #Jabatan Penerbangan Awam #Liow Tiong Lai #Noriah Kasnon #Sebuyau #Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad
;