Laporan audit: Pengurusan mitigasi banjir Kuala Lumpur belum capai objektif
Bernama
Ogos 3, 2022 14:22 MYT
Ogos 3, 2022 14:22 MYT
KUALA LUMPUR: Pengurusan mitigasi banjir Kuala Lumpur masih belum mencapai objektif ditetapkan berdasarkan skop dan sampel audit meliputi enam daripada 23 atau 26.1 peratus projek mitigasi banjir di bawah Pelan Induk dan lokasi hotspot (titik panas) banjir kilat.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 1, cadangan langkah mitigasi banjir fasa jangka pendek (2018-2022) di bawah Pelan Induk belum dilaksanakan sepenuhnya oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sekali gus menyebabkan masalah banjir kilat belum dapat diatasi.
"Selain itu, masih berlaku kejadian banjir kilat selepas projek mitigasi banjir dilaksanakan.
"Terdapat kelemahan dalam pengurusan program iaitu, pelantikan kontraktor yang tidak teratur, kelemahan pentadbiran kontrak, penyelenggaraan yang tidak dilaksanakan dengan cekap, komponen dan konfigurasi kolam takungan banjir dan rekreasi tidak sempurna serta kolam takungan belum diwartakan," menurut laporan itu.
Justeru, LKAN mengesyorkan DBKL agar melaksanakan mitigasi banjir secara seimbang dan konsisten dengan mengambil kira keperluan cadangan perunding dalam Pelan Induk dan keperluan pelaksanaan projek hotspot banjir supaya pelaksanaan program mitigasi banjir menjadi lebih menyeluruh dan holistik.
LKAN juga mengesyorkan pihak berkuasa tempatan (PBT ) itu melaksanakan penilaian pencapaian keberhasilan berdasarkan kepada Prosedur Operasi Standard bagi memastikan program mitigasi dapat dinilai dari segi keberkesanannya menangani banjir.
"Kajian semula komponen dan konfigurasi kolam takungan banjir dan rekreasi milik DBKL serta melaksanakan kerja penyenggaraan secara berjadual dan menyeluruh bagi memastikan kolam takungan banjir berfungsi secara optimum," menurut laporan itu.
Audit turut mengesyorkan DBKL mengemas kini rekod aset atau infrastruktur sungai, kolam takungan banjir dan rekreasi serta menambahbaik kaedah pemantauan di lapangan semasa melaksanakan kawal selia terhadap projek dan penyelenggaraan yang dilaksanakan.
-- BERNAMA