Laporan Audit: Pembaziran air RM300 sehari susulan kelemahan projek KSAS

Arfa Yunus
April 9, 2014 13:59 MYT
Kualiti projek pembinaan di Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang tidak memuaskan menyebabkan pembaziran air yang dianggarkan kos RM300 sehari.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013, pembinaan cooling tower bersaiz besar tidak praktikal digunakan kerana kedudukan pemasangannya tidak sama ketinggian dengan cooling tower bersaiz kecil.
Ini telah menyebabkan air mengalir daripada cooling tower bersaiz besar ke cooling tower bersaiz kecil dan melimpah ke lantai, seterusnya menyebabkan pembaziran air.
Selain itu, Building Automation System (BAS) dan Supervisory Control and Data Acquisition (SCADA) yang bernilai RM3.61 juta tidak boleh digunakan sepenuhnya.
“Sistem BAS tidak berfungsi di beberapa bahagian dan Sistem SCADA pula tidak dapat mengawal sistem elektrik seperti lampu koridor di kampus tersebut,” menurut laporan tersebut.
Dalam pada itu, sebanyak 58 kecacatan projek pembinaan ini yang dibina secara "design and build" masih belum dibaiki oleh kontraktor setakat 31 Disember 2013 walaupun tempoh kecacatan (DLP) berakhir pada 31 Januari 2014 lalu.
Pihak Audit mengesyorkan pihak UPSI dan Pengarah Projek, Jabatan Kerja Raya (JKR) Cawangan Pendidikan dan Pengajian Tinggi untuk membuat kajian secara menyeluruh terhadap reka bentuk dan pemasangan cooling tower yang besar supaya ia berfungsi dengan sempurna.
“JKR juga hendaklah memastikan semua cooling tower boleh digunakan dengan berkesan dan optimum.
“JKR dan UPSI hendaklah memastikan sistem BAS dan SCADA yang dibekalkan dapat berfungsi dengan baik atau menuntut balik bayaran daripada kontraktor untuk kedua-dua sistem tersebut,” kata laporan tersebut.
Selain itu, JKR juga digesa untuk membuat pemeriksaan menyeluruh terhadap bangunan dan peralatan serta memastikan semua kecacatan dan kerja pembinaan yang belum disiapkan, dibaiki dengan segera oleh kontraktor sebelum tempoh tanggungan kecacatan tamat.
JKR turut diarah untuk mengambil tindakan melaporkan ketidakcekapan kontraktor dan perunding kepada badan profesional berkenaan supaya tindakan tatatertib boleh diambil terhadap mereka.
“JKR dan UPSI perlu melaksanakan pemantauan yang berterusan untuk memastikan kerja pembaikan adalah berkualiti,” tambah laporan itu.
Projek pembinaan KSAS menerima kelulusan peruntukan sebanyak RM459.58 juta bagi Pakej 1 yang meliputi kerja tanah dan infrastruktur yang berjumlah RM36.59 juta dan Pakej 2 meliputi kerja bangunan berjumlah RM422.99 juta.
Pakej 1 telah disiapkan pada 28 April 2008 dengan kos berjumlah RM34.81 juta sementara Pakej 2 telah siap sepenuhnya pada 31 Januari 2012 dengan kos berjumlah RM403.80 juta.
#KSAS #laporan audit #pembaziran air #projek pembinaan #UPSI
;