Laporan Audit Negara: SPRM akan kaji laporan sebelum bertindak
Aizat Sharif
Oktober 2, 2013 08:05 MYT
Oktober 2, 2013 08:05 MYT
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) akan meneliti selengkap-lengkapnya Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dikeluarkan semalam sebelum mengambil sebarang tindakan susulan terhadap segala ketirisan dalam urus tadbir kewangan peringkat kerajaan pusat dan negeri.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdul ketika dihubungi Astro AWANI berkata pihaknya akan melakukan tindakan susulan setelah satu kajian terperinci dilakukan terhadap segala maklumat yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara itu.
“Kami akan melihat laporan tersebut dengan teliti dan kajian lanjut akan dilakukan oleh pihak kami terhadap segala maklumat yang diberikan dari laporan tersebut. Kita mengambil serius terhadap segala penemuan yang dilaporkan dalam laporan tersebut,” katanya.
Menurut Mohd Shukri lagi, penelitian tersebut berkemungkinan memakan masa antara seminggu hingga ke dua minggu dan setelah itu barulah tindakan-tindakan susulan akan diambil dari pihak mereka.
Melalui Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dibentangkan di Parlimen semalam, terdapat banyak berlaku ketirisan dalam urus tadbir kewangan dalam kementerian, badan berkanun dan juga kerajaan negeri.
Antara pendedahan-pendedahan yang dilaporkan dalam laporan tersebut adalah seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah kehilangan aset berjumlah RM1.33 juta melibatkan antaranya gari, senjata api dan kenderaan antara tahun 2010 hingga 2012.
Selain itu, Kementerian Pertahanan telah rugi sebanyak RM34.5 juta dalam pembekalan makanan kepada Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM).
Malah, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dikesan tidak menguruskan pemberian bantuan kewangan kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) dengan betul.