Laporan Audit Negara: Kementerian Wanita gagal urus bantuan NGO dengan betul
T K Letchumy Tamboo
Oktober 1, 2013 13:39 MYT
Oktober 1, 2013 13:39 MYT
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dikesan telah tidak menguruskan pemberian bantuan kewangan kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) dengan betul.
Ini adalah penemuan Ketua Audit Negara yang dibentangkan dalam laporan tahunannya bagi tahun 2012 yang dikeluarkan hari ini.
Laporan itu antara lain merumuskan bahawa kementerian tersebut tidak mematuhi syarat pengagihan geran atau bantuan khas perbendaharaan (BKP) yang ditetapkan yang mana pembayaran dibuat kepada NGO sebelum perjanjian geran atau bantuan khas itu ditandatangani.
Laporan itu turut mengatakan NGO yang menerima geran-geran berkenaan telah tidak mematuhi syarat yang ditetapkan dalam perjanjian dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Selain itu, laporan tersebut turut mengetengahkan isu lebihan wang geran atau BKP yang tidak digunakan oleh NGO tidak dikutip semula sepertimana yang ditetapkan dalam perjanjian.
Baki geran yang tidak dibelanjakan dan tidak dipulangkan kepada kerajaan setakat bulan Disember 2010 adalah sebanyak RM2.07 juta.
Ia melibatkan pemberian geran pada tahun 2010 dan 2011 kepada 57 NGO.
Walau bagaimanapun, selepas teguran daripada Jabatan Audit Negara, JKM telah mengemukakan surat peringatan kepada NGO tersebut dan berjaya mengutip RM748,136.96 setakat 29 April 2013.
Bagi mengatasi kelemahan yang dibangkitkan, laporan itu mencadangkan supaya kementerian serta agensi-agensi di bawahnya meningkatkan pemantauan ke atas NGO yang menerima geran daripadanya bagi memastikan mereka mematuhi semua syarat yang ditetapkan dan dana berkenaan tidak diseleweng.
Laporan juga mencadangkan syarat perjanjian dikuatkuasanya secara menyeluruh dan mana-mana NGO yang gagal mematuhi syarat tersebut dikenakan tindakan tegas.
Pemberian bantuan kewangan yang terdiri daripada geran dan BKP kepada NGO adalah antara usaha kementerian untuk menggalakkan NGO melaksanakan perkhidmatan kebajikan dan sosial.