Laporan audit: NCER belum boleh dinilai sebagai wilayah ekonomi bertaraf dunia

Bernama
Ogos 3, 2022 14:32 MYT
Pengurusan projek dan program di bawah NCER adalah kurang cekap kerana berlaku kelemahan yang ketara. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Pelaksanaan projek dan program di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) masih belum boleh dinilai pencapaian objektif untuk menjadi wilayah ekonomi bertaraf dunia dan destinasi pilihan pelaburan, pekerjaan dan kehidupan sehingga tahun 2025.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 1 yang dikeluarkan hari ini, pengurusan projek dan program di bawah NCER adalah kurang cekap kerana berlaku kelemahan yang ketara dalam aspek pengurusan kewangan, pengurusan tanah, pengurusan perolehan serta pematuhan spesifikasi dan kualiti.
"Selain itu, pengumpulan maklumat data pelaburan dan peluang pekerjaan NCER yang tidak lengkap menyukarkan pemantauan dan pengesyoran standard, garis panduan, amalan terbaik, proses dan tatacara pentadbiran yang seragam dalam memudahkan pembangunan NCER," katanya.
LKAN turut mengesyorkan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) untuk memastikan rangka tindakan (Blueprint) NCER mendokumenkan perancangan strategik yang komprehensif sebagai panduan untuk hala tuju serta pelaksanaan projek.
Selain itu, NCIA juga perlu memastikan penetapan sasaran pelaburan dan peluang pekerjaan di peringkat negeri dan mengikut sektor diwujudkan dalam Blueprint NCER bagi memudahkan pemantauan pencapaian, tambahnya.
Sementara itu, bagi mengatasi kelemahan yang dibangkitkan tidak berulang, pihak audit berpendapat NCIA perlu memastikan pelaksanaan projek dan program mengikut tempoh yang ditetapkan agar pembangunan koridor selari dengan perancangan di peringkat kerajaan negeri dalam memastikan arah, dasar dan strategi pembangunan dapat mencapai objektif penubuhan NCER.
NCIA juga disyorkan untuk memastikan pengurusan kewangan projek dan program dilaksanakan mengikut peraturan kewangan, dokumen kewangan sentiasa diurus dengan terperinci dan disenggara dengan baik sebagai pemantauan terhadap peruntukan dan perbelanjaan serta memberi gambaran sebenar peruntukan yang telah dibelanjakan.
Bagi tujuan pelaksanaan 40 projek, program dan kajian NCER di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), peruntukan yang diluluskan bagi kos projek berjumlah RM5.067 bilion sehingga 31 Dis 2021.
Menurut laporan itu, antara penemuan utama pihak audit yang perlu diberi perhatian adalah terdapat 11 kontrak bagi projek tidak dapat disiapkan dalam tempoh kontrak asal yang ditetapkan, dengan 27 pelanjutan masa (EOT) telah dikeluarkan bagi kontrak tersebut melibatkan tempoh antara 28 sehingga 818 hari.
Sementara itu, semakan pihak audit terhadap Laporan Perbelanjaan Kumpulan Wang Pembangunan NCER sehingga 31 Dis 2021 mendapati projek, program dan kajian sambungan daripada RMK10 hingga RMK11, sejumlah RM820.02 juta peruntukan telah disalurkan dan RM898.60 juta telah dibelanjakan, iaitu melebihi peruntukan.
"Bagaimanapun, pihak audit tidak dapat mengesahkan peruntukan dan perbelanjaan tersebut disebabkan maklumat terperinci yang dikemukakan tidak konsisten dan sebahagian dokumen berkaitan perbelanjaan belum dikemukakan," katanya.
-- BERNAMA
#Laporan Ketua Audit Negara #LKAN #NCER #Wilayah Ekonomi Koridor Utara
;