Laporan audit forensik LCS: PAC cadang kerajaan laksana beberapa ketetapan
Faris Danial Razi
Ogos 22, 2022 00:15 MYT
Ogos 22, 2022 00:15 MYT
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengesahkan telah menerima laporan audit forensik berkaitan Review of the LCS Programme yang telah dinyahklasifikasikan.
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, berkata susulan itu pihaknya meminta supaya kerajaan membuat beberapa ketetapan pada Mesyuarat Kabinet akan datang.
Katanya, ini kerana selagi kesemua transaksi dan aktiviti berkenaan dengan pelaksaannya projek itu belum disiasat dengan mendalam, berkemungkinan fakta penting untuk pembuktian perbuatan jenayah akan ditinggalkan.
"Antara ketetapannya ialah mengarahkan supaya pengauditan forensik lanjut dilaksanakan oleh Bustead Heavy Induntries Corporation Berhad (BHIC) ke atas projek LCS bagi melengkapi segala transaksi dan aktiviti berkenaan dengan pelaksanaan projek dan surat anugerah dari 2015 sehingga kini.
"Selain itu, memandangkan timbulnya isu penggunaan wang peruntukkan LCS untuk pembayaran hutang lapuk NGPV oleh BNS, laporan JKSTUPKK berkenaan enam patrol vessel (NGPV), Integrated Logistics Support dan Commercial Package Programme oleh TLDM juga harus dinyahklasifikasikan," katanya dalam kenyataan malam ini.
Tambah Kah Woh, laporan pengauditan forensik tersebut telah dimuatnaik ke laman web PAC dan orang ramai yang ingin membaca atau memuat turun laporan berkenaan boleh melayari laman web PAC.