Laporan audit: 97.8 peratus perbelanjaan IKSIM tidak dapat dikesan

Bernama
Ogos 6, 2018 23:22 MYT
MUJAHID: Segala aktiviti dan akaun IKSIM akan dibekukan serta-merta. - BERNAMA/Fail
Sejumlah RM7.43 juta daripada RM7.6 juta perbelanjaan dan pembayaran yang dibuat oleh Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) tidak dapat dikesan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.
Beliau berkata, hasil audit dalaman yang dilakukan terhadap institut berkenaan mendapati terdapat prosedur kewangan tidak jelas serta pembelian yang tidak selari dengan tujuan permohonan.
"Hanya RM0.17 juta atau 2.2 peratus sahaja yang disahkan perbelanjaannya, manakala selebihnya tidak dapat disahkan," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam sidang media selepas itu, Mujahid berkata segala aktiviti dan akaun IKSIM akan dibekukan serta-merta.
Katanya, pihaknya juga akan melihat terhadap usaha untuk melakukan proses pemulihan di institut berkenaan serta menjaga kebajikan kakitangannya.
"Kita buat keputusan, semua gaji pekerja yang tertunggak akan diselesaikan seberapa segera. Tak timbul isu kami abaikan pekerja.
"Saya harap penjelasan ini dapat meredakan semua pihak yang kononnya kami di Jabatan Perdana Menteri menzalimi pekerja IKSIM," katanya.
Sementara itu, pada sesi penggulungan berkenaan, Mujahid berkata kementeriannya berada pada fasa akhir untuk menerbitkan Garis Panduan Etika Berpakaian di tempat kerja, khusus bagi sektor swasta, menjelang akhir tahun ini.
"Jabatan Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan bekerjasama dalam hal ini. Ia akan dibawa kepada panel syariah untuk meneliti perkara tersebut dan akhirnya JPM akan menggariskan etika pakaian pekerja wanita muslim bagi sektor swasta," katanya.
Sehubungan itu, Mujahid berharap tiada lagi isu diskriminasi terhadap wanita beragama Islam khususnya yang mengamalkan etika pemakaian Islam ketika di tempat kerja.
Menjawab celahan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang bertanyakan tentang status 1,200 jemaah haji di bawah tajaan Yayasan 1MDB, Mujahid berkata permohonan mereka yang menepati kriteria ditetapkan Tabung Haji berkemungkinan diluluskan untuk ke Tanah Suci menunaikan ibadat haji. -- Bernama
#IKSIM #Institut Kajian Strategik Islam Malaysia #laporan audit #laporan ketua audit #Mujahid Yusof Rawa
;