Laporan ATSB: Waris harap pencarian MH370 diteruskan di kawasan baharu

Bernama
Disember 20, 2016 06:43 MYT
Selamat Omar, 63, bapa kepada penumpang Mohd Khairul Amri, percaya bahawa kawasan pencarian MH370 di Lautan Hindi sebelum ini tidak begitu menyakinkan. - Gambar fail
Anggota keluarga dan waris penumpang dan anak kapal pesawat MH370 hari ini berharap usaha pencarian bangkai pesawat MH370 diteruskan dengan menumpukan di kawasan baharu yang paling berkemungkinan terletaknya bangkai pesawat itu.
Ini berikutan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) yang yakin kawasan dasar laut di selatan Lautan Hindi yang dikenal pasti sebagai kawasan pencarian semasa, bukan merupakan tempat terletaknya bangkai pesawat MH370, yang hilang pada 8 Mac 2014.
ATSB, dalam Laporan Semakan Semula Utama pertamanya mengenai MH370, yang dikeluarkan pada Selasa, berkata para pakar mereka juga mengenal pasti satu kawasan kira-kira 25,000km persegi di utara kawasan pencarian sekarang sebagai kawasan paling berkemungkinan terletaknya bangkai pesawat itu.
Temu ramah Bernama dengan anggota keluarga dan waris MH370 mendapati rata-rata mereka, walaupun merasa kecewa, sedih dan resah dengan laporan itu, namun berharap usaha pencarian diteruskan demi mendapatkan satu penutup kepada episod tragis keluarga masing-masing.
Selamat Omar, 63, bapa kepada penumpang Mohd Khairul Amri, percaya bahawa kawasan pencarian MH370 di Lautan Hindi sebelum ini tidak begitu menyakinkan kerana tidak mempunyai bukti yang kukuh yang mengatakan kapal terbang berkenaan melalui kawasan itu.
"Terlalu banyak pandangan mengenai di mana lokasi sebenar MH370 di Lautan Hindi sehingga ia menimbulkan keraguan... kami berharap pihak terbabit terus mencari pesawat itu walau di manapun lokasinya.
"Selama dua tahun lebih ini saya tidak pernah putus berdoa agar pesawat ditemui dan kami mengalu-alukan jika ada sebarang usaha pihak ATSB meneruskan pencarian di lokasi lain," katanya.
Kelvin Shim, 39, suami kepada pramugari MH370 Tan Ser Kuin berkata laporan itu menimbulkan persoalan sama ada siasatan yang dijalankan selama ini ada berlaku kesilapan.
"Kami ingin tahu apakah tindakan selanjutnya akan diambil. Adakah berlaku kesilapan pada peralatan yang digunakan dalam penyiasatan, salah kumpul data atau salah teori?," katanya.
Shim berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan beberapa anggota keluarga mangsa MH370 sebaik sahaja membaca laporan terbaru yang dikeluarkan ATSB pada Selasa.
Sementara itu, Nur Laila Ngah, isteri pramugara Wan Swaid Wan Ismail berkata tiada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaannya pada ketika ini, sambil menyatakan beliau menerima apa sahaja yang dilakukan pihak berkuasa untuk mencari pesawat itu.
"Buat masa ini, saya hanya ikut apa yang mereka katakan. Saya tiada pilihan dan pada masa sama, saya sudah menerima takdir suami saya.
"Ia sudah hampir tahun tahun sekarang, pesawat masih belum ditemukan dan mereka bukan hanya sekali tetapi dua kali mencari pesawat itu di kawasan yang salah," katanya.
Intan Maizura Othman, 36, isteri kepada pramugara Mohd Hazrin Hasnan meminta pihak berwajib memberi maklumat yang tepat mengenai pencarian MH370 kepada waris mangsa.
"Saya tidak pasti pihak mana yang bertanggungjawab terhadap pencarian ini sebenarnya.
"Sebagai seorang yang beragama Islam, saya reda dengan apa yang berlaku dan semua kejadian ini berlaku bersebab, namun pihak bertanggungjawab perlu memberikan maklumat yang tepat mengenai MH370," katanya.
Penerbangan MH370 hilang pada 8 Mac 2014, semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing membawa 239 penumpang dan anak kapal.
Pesawat itu masih lagi belum ditemukan walaupun pencarian secara besar-besaran di selatan Lautan Hindi dilaksanakan di tempat dipercayai penerbangannya berakhir. -- Bernama
#ATSB #Biro Keselamatan Pengangkutan Australia #Kementerian Pengangkutan #Lautan Hindi #Liow Tiong Lai #MH370
;