'Laporan aset berbilion ringgit hanya untuk burukkan nama keluarga'

Bernama
September 3, 2014 00:49 MYT
Anak Yang Dipertua Negeri Sarawak turut menafikan memiliki banyak aset hartanah di luar negara dan jet peribadi,
Anak Yang Dipertua Negeri Sarawak, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Tun Abdul Taib pada Selasa memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini bahawa dakwaan beliau dan keluarga memiliki aset berbilion ringgit adalah tidak benar dan bertujuan mengubah dunia politik Sarawak.
Mahmud Abu Bekir mendakwa pihak pembangkang serta beberapa peguam yang mewakili bekas isterinya Shahnaz A Majid sebagai pihak yang bertanggungjawab melakukan konspirasi itu.
Katanya pihak itu telah menggunakan prosiding kes tuntutan mutaah RM100 juta sebagai landasan untuk memalukan dirinya dan keluarganya.
Beliau yang memberi keterangan sebagai defendan kes itu berkata serangan berkenaan aset itu menjadi popular hingga diketahui seluruh dunia dan pihak pembangkang telah memutarbelitkan fakta sedangkan bapanya, Abdul Taib Mahmud yang juga bekas Ketua Menteri Sarawak, bukanlah orang terkaya di Malaysia.
Ketika prosiding, Mahmud Abu Bekir turut bertikam lidah dengan peguam Dr Mohd Rafie Shafie, yang mewakili Shahnaz apabila Mahmud Abu Bekir mendakwa Mohd Rafie turut terlibat dalam konspirasi itu kerana mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mohd Rafie merupakan besan kepada Anwar apabila anaknya Mohd Reza berkahwin dengan Nurul Ilham.
"Serangan media dan politik ini mula menjadi popular apabila bekas isteri saya dan peguamnya telah memfitnah, membuat penipuan dan memutar belit fakta di mahkamah ini.
"Kes mutaah ini telah menimbulkan rasa sedih bukan saya dan plaintif (Shahnaz) sahaja, tetapi ia telah diguna untuk tujuan politik.
"Mahkamah ini diguna sebagai jalan untuk anggota politik pembangkang memburukkan nama saya dan keluarga serta cuba memburuk-burukkan negeri Sarawak hanya kerana plaintif membuat kenyataan Taib Mahmud orang terkaya di Malaysia," katanya.
Berikutan kenyataan Shahnaz itu diberi liputan meluas, Mahmud Abu Bekir berkata anggota Parlimen Kanada telah mengarahkan pihak Swiss bank untuk melakukan siasatan jika terdapat akaun yang dipegang olehnya dan keluarga, bertujuan memalukan beliau.
"Kononnya saya ada 111 akaun dan memiliki berbilion ringgit, ini tidak munasabah. Mereka sebenarnya ingin menyatakan ayah saya terima rasuah sedangkan ayah saya jujur ketika berkhidmat untuk negara. Tetapi ia telah dicemar oleh anggota politik pembangkang.
"Saya tidak mempunyai akaun di Kanada, Perancis, Hong Kong dan beberapa negara lain seperti didakwa. Semua itu bohong. Satu akaun pun tak wujud," katanya yang turut mengupah penyiasat persendirian untuk menyiasat dakwaan bekas isterinya.
Hasil siasatan, beliau berkata isterinya memperoleh dokumen palsu daripada dua rakyat Kanada iaitu Cullen Johnson dan Elaine White yang kini ditahan kerana terlibat dalam penipuan serta pengubahan wang haram.
Dalam prosiding itu juga beliau turut menafikan memiliki banyak aset hartanah di luar negara dan jet peribadi, sebaliknya hanya menjalankan perniagaan menerusi pinjaman bank tanpa bergantung kepada bapanya semata-mata.
Mengenai dakwaan memiliki beberapa syarikat, Mahmud Abu Bekir tidak menafikan mempunyai saham dan perniagaan bernilai jutaan ringgit namun ada beberapa nama syarikat yang disenaraikan di mahkamah tidak diketahui kewujudannya.
Beliau juga menafikan pernah mendera, memukul dan menumbuk Shahnaz sebaliknya mendakwa wanita itu yang sering bertindak kasar kerana mempunyai sikap panas baran.
Mahmud Abu Bekir berkata beliau juga tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai bapa kepada anaknya dengan memberi wang perbelanjaan namun tidak menafikan bahawa mereka jarang bertemu ketika anaknya masih kecil kerana anaknya berada di bawah jagaan Shahnaz.
Katanya bermula 1998 hingga tempoh awal penceraian, beliau pernah memberi RM10,000 setiap bulan kepada Shahnaz dan membeli sebuah rumah bernilai RM1.5 juta di Damansara.
"Boleh dikatakan tiap-tiap dakwaan ini berasal daripada perasaan marah. Beliau (Shahnaz) membuat tuduhan kosong dan palsu. Ayah saya pun beliau kata orang terkaya di Malaysia. Ia tak masuk akal. Itulah sikap marahnya. Tuntut beratus juta," katanya.
Shahnaz memfailkan tuntutan mutaah berjumlah RM100 juta, antara lain menuntut beratus hektar tanah di Sarawak, rumah, dan kereta mewah yang diisytihar sebagai harta sepencarian.
Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie Muhamad Abdul Karim Wahab bersambung 8 Sept ini.
#Anak Yang Dipertua Negeri Sarawak #Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Tun Abdul Taib #Mahkamah Tinggi Syariah