Laporan ancaman bom palsu di sekolah meningkat kepada 37

Astro Awani
November 22, 2023 19:11 MYT
Razarudin berkata, angka laporan tertinggi direkodkan di Selangor dengan 15 kes manakala Kuala Lumpur dan Johor masing-masing enam kes. - Foto fail/ BERNAMA
KUALA LUMPUR: Polis menerima 37 laporan berhubung ancaman bom palsu melibatkan sekolah-sekolah di sembilan negeri sejak Selasa.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, angka tertinggi direkodkan di Selangor dengan 15 kes manakala Kuala Lumpur dan Johor masing-masing enam kes.
"Sementara itu, Pulau Pinang pula menerima tiga kes serta masing-masing dua di Perak dan Negeri Sembilan manakala satu kes dilaporkan di Kedah, Sabah dan Sarawak," katanya ketika dihubungi di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Razarudin memberitahu, laporan itu melibatkan sekolah bantuan kerajaan, antarabangsa dan swasta.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal, kesemua ancaman bom palsu itu dibuat menerusi e-mel dihantar oleh pengirim sama yang menggunakan nama 'Taktstorer'.
"Pun begitu, orang ramai khususnya ibu bapa dan pihak tidak perlu panik.
"Polis sentiasa memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara," ujarnya.
#bom palsu #sekolah #ketenteraman awam #Polis Diraja Malaysia
;