Laporan akhir tragedi tanah runtuh Batang Kali siap akhir Jun

Astro Awani
Jun 5, 2023 15:45 MYT
Dalam kejadian pada 16 Disember 2022, seramai 31 mangsa terkorban manakala 61 terselamat dalam tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers Organic Farm di Batang Kali. Foto - Astro AWANI/ Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Laporan akhir tragedi tanah runtuh di Batang Kali akan diperoleh pada akhir Jun ini untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum dimuktamadkan untuk semua pihak terlibat mengambil tindakan selanjutnya.
Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, beliau memahami terdapat banyak pihak, terutamanya keluarga mangsa, yang ingin mendapatkan laporan akhir tragedi berkenaan.
“Saya memahami banyak pihak termasuk keluarga mangsa yang terjejas ingin mengetahui atau mendapatkan laporan akhir kejadian berkenaan, justeru saya memberi jaminan Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang melakukan usaha yang terbaik untuk melengkapkan proses ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Jelasnya, Kementerian Kerja Raya melalui JKR dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan berkaitan kini dalam peringkat penyediaan draf laporan akhir.
“Antara elemen yang diambil kira dalam penyiapan laporan ini adalah kerja-kerja ujian penyiasatan tanah di lapangan dan makmal serta penganalisaan data.
“Data dari ujian ini adalah penting untuk dianalisis bagi menentukan mekanisme kegagalan oleh pelbagai pakar termasuk dari aspek kejuruteraan geoteknik dan geologi,” ujarnya.
Baru-baru ini, mangsa tragedi tanah runtuh itu menyuarakan kekecewaan mereka terhadap kelewatan pihak berkuasa mengeluarkan hasil siasatan.
Dalam kejadian pada 16 Disember 2022, seramai 31 mangsa terkorban manakala 61 terselamat dalam tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali.
#tanah runtuh #tragedi Batang Kali #Alexander Nanta Linggi #laporan siasatan
;