Laporan akhir kajian SPPA siap dalam dua bulan - PM
Sinar Harian
Februari 6, 2024 10:35 MYT
Februari 6, 2024 10:35 MYT
PUTRAJAYA: [DIKEMAS KINI] Laporan akhir kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dijangka siap dalam tempoh dua bulan lagi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tempoh berkenaan lebih cepat berbanding jangkaan awal sebelum ia dibentangkan ke Jemaah Menteri untuk diluluskan.
Menurutnya, perkara itu berdasarkan persetujuan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz untuk mempercepatkan proses berkenaan.
"Alhamdulillah (laporan) lebih cepat daripada apa saya jangkakan keputusannya, tetapi ia diimbangi dengan keupayaan (ekonomi) kita.
"Sebab itu saya mulakan (kajian) kerana tidak mahu dikatakan ia sengaja dilengah-lengahkan kerana sudah 12 tahun menunggu, dengan 'committee' (jawatankuasa) lagi, ada jawatankuasa koordinasi (seterusnya) ada koordinasi 'super', kemudian jawatankuasa Kabinet, kemudian jawatankuasa dipengerusi Perdana Menteri.
"Ada 15 jawatankuasa, baru nak putuskan (keputusan), tidak. Kita ambil 'fast track' dan kalau tak selesai juga, tukar Perdana Menteri," katanya berseloroh ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di sini pada Selasa.
Dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada Oktober tahun lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pelaksanaan penuh SSPA bermula 2025 dengan kajiannya memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam.
Ia menerusi penggunaan teknologi dan kemahiran modal insan, prestasi penjawat awam dari aspek produktiviti yang mewajarkan gaji setimpal kepada penjawat awam, kesejahteraan penjawat awam dalam menangani kos sara hidup serta kemampanan fiskal negara dalam membiayai perbelanjaan berkaitan perkhidmatan awam. - Sinar Harian