Lapor terus kepada KPDNHEP tentang kenaikan harga barang tidak munasabah
Israr Khalid
April 5, 2022 04:45 MYT
April 5, 2022 04:45 MYT
KUALA LUMPUR: Pengguna disaran untuk tidak hanya menghebahkan di media sosial tetapi lebih penting membuat laporan terus kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) andai berdepan dengan mana-mana kenaikan harga barang yang tidak munasabah.
Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menegaskan, aduan yang tepat dan terperinci perlulah dibuat di saluran yang betul supaya pihaknya dapat mengambil tindakan yang sewajarnya dengan sesegera mungkin.
Lebih-lebih lagi di waktu ini ketika bulan Ramadan dan menghampiri perayaan Aidilfitri, hebahan di media sosial semata-mata tidak banyak membantu pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka sepertimana yang diharapkan.
“Kita adakan advokasi kepada pengguna, kita mahu mereka tahu hak-hak mereka bukan hanya diminta untuk buat aduan tetapi yang lebih spesifik, bukan kata “oh harga barang naik” tapi di mana tidak diberitahu.
“Saya selalu kata begini, kalau nak buat aduan biar lebih tepat supaya kami boleh bergerak dan bertindak dengan lebih berkesan menangani masalah ini, supaya mereka yang buat salah kita dapat ambil tindakan dan jadi teladan kepada peniaga lain.”
Sempena dengan bulan puasa yang menyaksikan ‘pesta jualan makanan’ di bazar-bazar Ramadan seluruh negara, KPDNHEP melancarkan Op Pantau pada 3 April tempoh hari untuk memastikan para peniaga patuh kepada kadar harga yang ‘masuk akal.’
Jelas beliau, pemantauan adalah penting supaya para peniaga yang berniat tidak baik tidak mempunyai peluang untuk mengambil kesempatan lebih-lebih lagi ketika ekonomi sedang mula berkembang semula tatkala negara memasuki tempoh peralihan ke fasa endemik.
“Sepanjang dua hari pelaksanaannya sahaja kita sudah membuat pemeriksaan terhadap lebih 7,000 premis, 17 kes telah didapati atas pelbagai kesalahan dan nilai kompaun berjumlah RM4,200.
“Ini kesan daripada kita membuat pemantauan dan kita ambil tindakan ke atas kes-kes yang sudah ditentukan bersalah. Jadi jaga-jaga.”
Tonton temu bual penuh bersama beliau dalam program Agenda AWANI dihoskan oleh Dzulfitri Yusop, di sini: