Lapor tadika swasta tidak berdaftar
Bernama
Ogos 28, 2016 21:33 MYT
Ogos 28, 2016 21:33 MYT
Ibu bapa dan masyarakat diminta membuat aduan kepada Jabatan Pendidikan daerah atau negeri jika mendapat maklumat mengenai mana-mana tadika swasta tidak berdaftar dengan Kementerian Pendidikan.
Ketua Sektor Pendidikan Swasta Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Mohd Najib Ab Rahman berkata kerjasama itu penting supaya kanak-kanak dapat mengikuti Kukurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan yang ditetapkan.
"Mereka perlu mendaftar dengan kementerian yang membuat kawalan khususnya kepada kukurikulum dan kita nak dapatkan jumlah enrolmen pelajar yang memasuki prasekolah mengikut Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri program Running Kidz di sini hari ini.
Running Kidz adalah program yang bertujuan mempertingkatkan enrolmen kanak-kanak prasekolah.
Sebanyak 120 kenderaan berkonvoi ke seluruh negara sejak 25 Ogos lepas dan berakhir hari ini untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pendidikan prasekolah khususnya dengan menghantar anak-anak ke tadika kerajaan atau swasta yang berdaftar dengan kementerian, seawal usia 4 tahun.
Mohd Najib berkata sepanjang 2015 sehinga awal tahun ini, sebanyak 31 tadika swasta di seluruh negara dikenakan kompaun kerana tidak berdaftar dengan Kementerian Pendidikan.
"Kompaun yang diberikan bergantung kepada kesalahan misalnya berapa lama mereka beroperasi, berapa banyak yuran yang dikenakan dan jumlah enrolmen pelajar," katanya.
Beliau berkata pengusaha kebanyakannya memberi alasan tidak mengetahui mengenai kewajiban mendaftar tadika swasta dengan kementerian.
Menurutnya sukar untuk mengesan kesemua tadika yang tidak berdaftar dan berikutan itu memerlukan kerjasama masyarakat untuk membuat laporan daripada semasa ke semasa.
Katanya ibu bapa juga dinasihatkan menyemak status tadika swasta sebelum mendaftar anak mereka melalui Sistem Maklumat Prasekolah Kebangsaan (SMPK) di laman web https://smpk.moe.gov.my
Mohd Najib berkata lebih 6,000 tadika swasta di negara ini telah berdaftar dengan kementerian.