Lapor segera penipuan pakej haji - Raja Muda Perlis

Bernama
Julai 10, 2022 12:00 MYT
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menasihati mereka yang menjadi mangsa atau mempunyai maklumat mengenai penipuan pakej haji supaya segera membuat laporan kepada pihak berkuasa. -Gambar fail/Bernama
KANGAR: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menasihati mereka yang menjadi mangsa atau mempunyai maklumat mengenai penipuan pakej haji supaya segera membuat laporan kepada pihak berkuasa.
"Mereka yang menipu atau digelar sebagai 'scam haji' perlu dibawa ke muka pengadilan agar tiada lagi yang akan terpedaya dengan penipuan atas nama agama seumpama itu," titah baginda menerusi satu kenyataan dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini.
Baginda bertitah demikian selepas menyerahkan sumbangan zakat MAIPs berjumlah RM21,000 kepada 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Al Jabal A'la, Kampung Melayu, Kaki Bukit semalam.
Tuanku Syed Faizuddin menzahirkan rasa dukacita dengan apa yang berlaku ke atas sekumpulan bakal haji yang difahamkan telah ditipu oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab menawarkan pakej haji palsu.
"Jangan mudah terpengaruh dengan tawaran yang mempromosikan pakej haji furada yang belum tentu ada jaminan untuk sampai ke Tanah Suci.
"Tawaran menarik dengan peluang cepat tanpa menunggu giliran sering kali menjadi faktor utama bakal haji mudah percaya dan akhirnya tertipu," titah baginda.
Baru-baru ini dilaporkan kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan bagi pakej haji visa furada.
-- BERNAMA
#Raja Muda Perlis #Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail #scam haji #pakej haji visa furada
;