Lapor segera pelabelan negatif produk berasaskan minyak sawit - MPOC
Bernama
Oktober 4, 2022 16:57 MYT
Oktober 4, 2022 16:57 MYT
KUALA LUMPUR: Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) menggesa rakyat Malaysia untuk memberi maklumat kepada agensi itu sekiranya menemui sebarang bentuk amalan tidak adil atau pelabelan negatif bagi produk makanan berasaskan minyak sawit.
Agensi itu dalam satu kenyataan hari ini berkata produk dengan label 'Tanpa Minyak Sawit' kini dijual oleh peruncit dan pasar raya di Malaysia meskipun negara berusaha keras untuk mempromosikan kebaikan minyak sawit.
Daripada pemeriksaan yang dijalankan ke atas 2,609 premis di seluruh negara, pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati terdapat 12 produk dengan label seperti 'bebas minyak sawit' atau 'tidak mengandungi minyak sawit'.
"Dengan tujuan untuk menggalakkan persaingan yang adil dan pemasaran yang seimbang, peruncit dan pengusaha pasar raya diingatkan bahawa mereka dikehendaki mematuhi Akta Perihal Dagangan 2011 untuk mengelakkan kenyataan palsu atau mengelirukan dalam pelabelan atau penerbitan iklan berkaitan dengan minyak sawit," katanya.
MPOC berkata, selain daripada pematuhan terhadap peruntukan pelabelan makanan yang betul dan sepatutnya seperti yang dinyatakan dalam akta tersebut, terdapat keperluan utama untuk mematuhi Akta Perlindungan Pengguna 1999.
Bagaimanapun, katanya, sukar bagi KPDNHEP untuk membuktikan 'pelabelan makanan yang menghina', 'pengiklanan yang menghina' atau 'pelabelan negatif' produk makanan berasaskan minyak sawit.
Pada 31 Okt, 2019, kerajaan telah meluluskan peraturan untuk mengharamkan penggunaan label produk yang menggambarkan konotasi negatif tentang minyak sawit.
Amalan tidak bertanggungjawab itu telah dikesan oleh KPDNHEP dengan kerjasama Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
"Jika perlu, bergantung kepada seteruk mana perkara itu, peraturan itu boleh diperluaskan ke dalam bentuk akta atau undang-undang yang lebih ketat untuk memudahkan penguatkuasaan atau untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap pengeluar dan atau peruncit produk," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, Wan Aishah Wan Hamid berkata pihaknya bekerja keras untuk mempromosikan minyak sawit di seluruh dunia.
"Namun, amat mengecewakan apabila mengetahui pasar raya di dalam negara membawa produk dengan label 'Tanpa Minyak Sawit' di rak mereka," katanya.
-- BERNAMA