Lapor segera kehadiran orang yang mencurigakan - Esscom
Ridzal Abdullah
Februari 18, 2015 15:11 MYT
Februari 18, 2015 15:11 MYT
Penduduk di sekitar perkampungan Tanduo, termasuk di kawasan Felda Sahabat diminta segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika mengetahui tentang kehadiran pendatang tanpa izin (Pati) atau orang yang mencurigakan di kawasan itu.
Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) DCP Datuk Abdul Rashid Harun berkata mereka boleh menyalurkan maklumat itu ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Esscom yang beroperasi 24 jam di talian 089-863181 atau faks 089-863182.
"Kita sering mendengar khabar-khabar angin kononnya gelombang kedua pencerobohan pengganas Sulu akan berlaku. Walaupun ia tidak benar namun kita tidak boleh leka, sebaliknya sentiasa bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
"Dalam hal ini, kerjasama semua pihak termasuk penduduk pesisir pantai sekitar Tanduo dan anggota polis bantuan Felda amat penting bagi membantu pihak keselamatan mengambil tindakan sewajarnya," katanya.
Abd Rashid berkata demikian ketika berucap pada majlis pertemuan (engagement) Esscom bersama anggota polis bantuan Felda di Felda Sahabat 3, hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Esscom Ruji Ubi dan Pengurus Besar Felda Wilayah Sabah Timur Sharuddin Amin.
Abd Rashid mahu anggota polis bantuan di kawasan Felda Sahabat menjadi mata dan telinga kerajaan untuk menyalurkan maklumat khususnya yang berkaitan dengan kehadiran Pati atau kemasukan penjenayah yang menyamar sebagai orang tempatan.
Beliau turut menyeru para anggota polis bantuan supaya terus membudayakan amalan integriti dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan di lapangan.
"Jangan pula timbul situasi 'Harapkan pagar, pagar makan padi'. Jangan takut atau bimbang tindakbalas pihak tertentu apabila memberikan maklumat kepada anggota keselamatan...kita tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang bersekongkol dengan Pati atau penjenayah rentas sempadan," katanya.
Abd Rashid berkata insiden Tanduo dan Kg Simunul, Semporna telah membuka mata semua pihak terutama rakyat tempatan yang cintakan keamanan, dan berharap sejarah hitam itu tidak berulang.
Walaupun peristiwa itu berlaku hampir dua tahun lepas, namun tragedi pertempuran Tanduo, yang menyaksikan 10 anggota keselamatan negara terkorban manakala sekitar 68 pengganas ditembak mati, masih segar dalam ingatan jutaan rakyat negara ini.