Lapor segera jika harga ayam tidak munasabah
Bernama
November 1, 2023 15:35 MYT
November 1, 2023 15:35 MYT
ALOR SETAR: Orang ramai dinasihatkan supaya segera membuat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) jika mendapati harga ayam dan makanan berasaskan ayam didapati tidak munasabah hingga membebankan pengguna.
Pengarah KPDN Kedah Affendi Rajini Kanth berkata tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang mengambil kesempatan atas keputusan kerajaan menamatkan subsidi dan kawalan harga ayam berkuat kuasa secara rasmi hari ini.
"Saya juga menerima maklumat kononnya kenaikan harga ayam akan menyebabkan kenaikan harga makanan...tak wajar naikkan harga makanan dengan alasan harga ayam naik.
"Jika pengguna mendapati ada kenaikan harga (termasuk makanan) yang tak munasabah dan tak masuk akal, sila salurkan aduan...jadilah mata serta telinga KPDN Kedah untuk beri laporan dan kita akan ambil tindakan tegas," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Pasar Besar Alor Setar di sini hari ini.
Dalam pada itu, katanya tinjauan KPDN di pasar besar di sini mendapati harga ayam masih berada pada kadar biasa iaitu sekitar RM7.70 hingga RM9.40 sekilogram.
Sementara itu, peniaga ayam, Mohd Lutfi Abdul Ghani, 63, berkata beliau mungkin terpaksa menaikan sedikit harga jualannya jika berlaku peningkatan harga di peringkat orang tengah dan ladang.
"Pakcik ambil bekalan daripada orang tengah bukan ambil terus daripada pembekal, walapun mahal sikit tapi pelanggan pakcik tetap beli. Bagi pakcik, untung sikit pun tak apa asalkan mereka datang," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mohd Zakir Zahir, 27, pula berkata keputusan kerajaan menamatkan subsidi tersebut tidak memberi kesan kepada perniagaannya kerana tiada kenaikan di peringkat ladang buat masa ini.
"Bila peladang kata naik, kami naik kalau turun kami turun dan kalau naik pun tak banyak dalam 30 sen atau 20sen. Naik atau turun harga memang tak tentu, setakat ini paling mahal kami pernah jual harga RM9.20 sekilogram dan hari ini RM7.70 sekilogram, harga ini memang murah," katanya.
Pengguna, Hadri Munir Yusof, 37, berkata dalam situasi sekarang, pengguna perlu bijak memilih kedai yang menawarkan harga murah dan pihak berkuasa pula melebihkan pemantauan bagi memastikan peniaga tidak meletakkan harga keterlaluan.
"Walaupun kerajaan sudah bagi hak kepada peniaga (tiada kawalan harga), dalam waktu ini pengguna perlu tinjau dulu harga semasa di pasaran sebelum membeli," katanya.
-- BERNAMA