Lapor rasuah: 11 penjawat awam di Sabah diiktiraf

Bernama
Januari 26, 2023 19:05 MYT
Seramai 11 penjawat awam di Sabah menerima pengiktirafan daripada kerajaan Persekutuan kerana melaporkan sesuatu penawaran atau pemberian rasuah sepanjang tahun lepas, kata Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy. - Gambar fail/Sinar Harian
SANDAKAN: Seramai 11 penjawat awam di Sabah menerima pengiktirafan daripada kerajaan Persekutuan kerana melaporkan sesuatu penawaran atau pemberian rasuah sepanjang tahun lepas, kata Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah Datuk S. Karunanithy.
Menurutnya, pengiktirafan berkenaan selaras dengan pekeliling oleh Ketua Setiausaha Negara pada 2011 dalam usaha dan komitmen kerajaan memerangi jenayah rasuah.
"Inisiatif (pengiktirafan) ini sebagai platform untuk menanam faktor ketakutan kepada si pemberi rasuah bahawa mereka tahu, jika mereka memberi rasuah, mereka akan ditangkap.
"Jika ada usaha seseorang individu untuk menyogok, sudah tentu tindakan seharusnya adalah untuk menolak. Tetapi jika individu itu mahu juga memberi, maka perlulah dilaporkan," katanya kepada pemberita selepas majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Sabah di sini hari ini.
Karunanithy turut mengingatkan kegagalan melaporkan sebarang jenayah rasuah dalam kalangan penjawat awam boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 25 Akta SPRM yang memperuntukkan denda RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mengenai kerjasama SPRM dengan Politeknik Sabah, beliau berkata usaha memerangi jenayah rasuah tidak terhad kepada warga politeknik sahaja, malah turut memanjangkan usaha kesedaran dalam kalangan pelajar agar lahir sebagai ahli tenaga kerja berintegriti kelak.
Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dr Mohd Zahari Ismail berkata kerjasama antara Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dan SPRM dalam membanteras rasuah perlu diperkukuhkan dalam mengamalkan tadbir urus terbaik sama ada dalam pentadbiran, mahupun pengajaran dan pembelajaran.
-- BERNAMA
#Rasuah #penjawat awam #Sabah #SPRM
;